Warga emas cedera terkena siling akibat angin puting beliung 

Warga emas cedera terkena siling akibat angin puting beliung 

ADILAH Mohd. Yunus menunjukkan siling rumah yang rosak dan terjatuh mengenai kepala ibu mentuanya akibat angin puting beliung di Taman Bagan Kurnia, Chuah, Port Dickson, pagi tadi. FOTO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang warga emas mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas siling rumahnya terjatuh akibat kejadian angin puting beliung yang berlaku di Taman Bagan Kurnia, Chuah, di sini pagi tadi. 

Mangsa, Siti Mariam Abu, 86, yang tinggal seorang diri itu dikatakan sedang berehat di kawasan dapur rumahnya selepas bersarapan. 

Menantunya, Adilah Mohd. Yunus, 44, berkata, dia menerima panggilan daripada jiran memaklumkan kejadian berkenaan dan bergegas ke rumah mentuanya itu.

“Pada ketika itu, saya sedang bekerja dan menerima panggilan daripada jiran yang memaklumkan ibu mentua saya cedera. Apabila pulang kami mendapati bahagian kanan kepalanya ada kesan cedera. 

“Kami bertanyakan kepadanya tentang kejadian itu namun, dia terdiam sahaja kerana tidak berapa dengar. Kami telah menghantar dia ke klinik berdekatan untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Bagan Kurnia, Chuah,di sini hari ini. 

Kira-kira 10 buah rumah penduduk di taman perumahan tersebut rosak di bahagian atap dan siling apabila angin puting beliung melanda kawasan tersebut kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Sementara itu, menurut Adilah, ibu mentuanya sering berehat dan baring di kawasan dapur berkenaan.

“Dia sering baring di situ dan sewaktu kejadian dia dikatakan sedang berbaring, memang kebiasaan selepas minum pagi dia akan berehat di situ,” katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Datuk Yek Diew Ching berkata, pihaknya dan Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson bersetuju membaiki kerosakan rumah yang terlibat. 

“Kami telah bersetuju melantik kontraktor secepat mungkin untuk membaik pulih bumbung rumah penduduk yang rosak dipukul angin puting beliung tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya