KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, sebanyak RM5.9 juta wang dana Yayasan Akalbudi milik Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi disumbangkan kepada sebuah yayasan lain bagi membeli dua lot banglo untuk diwakafkan sebagai sedekah dan amal jariah.
Peguam Hisyam Teh Poh Teik berhujah, salah sebuah banglo itu telah dibangunkan menjadi sebuah surau lengkap dengan bilik mesyuarat.
Sehubungan itu, pihak pembelaan menghujahkan, pendakwaan gagal membuktikan bahawa wang yang dikeluarkan daripada akaun pemegang amanah Tetuan Lewis & Co. yang disalurkan kepada Yayasan Al-Falah itu adalah hasil daripada aktiviti haram.
Hujah Hisyam, wang RM5.9 juta itu sebaliknya merupakan sumbangan daripada dua ahli perniagaan, Junaith Asharab dan Mubarak Hussain Akhtar Husin yang mana kedua-duanya merupakan saksi pendakwaan.
Mubarak Hussain yang merupakan saksi pendakwaan ke-66 dalam keterangannya menyatakan, wang tersebut adalah sumbangan bagi membangunkan sekolah tahfiz milik bekas Timbalan Perdana Menteri.
Selain itu, Junaith Asharab (saksi pendakwaan ke-36) menyatakan, cek turut diserahkan kepada Ahmad Zahid untuk membangunkan masjid di Bagan Datuk, Perak.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan prosiding penghujahan bersambung esok.
Mahkamah mendengar penghujahan pembelaan pada akhir kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan iaitu 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pecah amanah dan lapan rasuah melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana tersebut untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.
Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.
Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.
Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.
Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE