KUALA LUMPUR : Negara masih belum benar-benar bebas daripada belenggu pandemik dan wabak Covid-19 sekali gus membuatkan pelakon dan selebriti popular tanah air, Nur Fazura sukar membuang rasa bimbang di hati.
Ini kerana sejak bergelar ibu, menjadi tanggungjwabnya untuk memastikan keselamatan dan kesihatan anak serta keluarganya sentiasa terjamin.
“Ini ialah sewaktu masih boleh dianggap ‘okey’ untuk makan di mana-mana restoran dan membawa anak kami, Fatima. Kami makan di bahagian yang agak privasi tetapi itu pun saya rasa bimbang dan takut gila masa itu.
“Wabak yang membunuh ini boleh berada di mana-mana sahaja. Risau!
“Masa itu, kes tak setinggi sekarang, pun dah tak tenang juga. Nak cepat-cepat balik. Apatah lagi sekarang kan,”katanya dalam satu hantaran di akaun Instagramnya semalam.
Menerusi hantaran tersebut Fazura juga menjelaskan bahawa gambar yang dikongsi merupakan gambar lama yang diambil sekitar April lalu.
Selain itu, dalam masa yang sama, bintang filem Gol dan Gincu ini juga menasihatkan agar semua individu sentiasa mengamalkan langkah berjaga-jaga.
“Tolong berjaga-jaga semua. Terutama bila nak bawa anak keluar makan di tempat awam dengan ramai orang.
“Risau sangat-sangat. Sayang semua dan kekal selamat semua ya,”katanya.
Perkongsian itu mendapat reaksi positif daripada rakan-rakan artis dengan antaranya termasuk Elly Mazlein, Michael Ang, Datin Seri Tiara Jacquelina, Chef Wan, Luna Maya dan Sheera Iskandar.
Fazura mendirikan rumah tangga dengan pelakon Fattah Amin, pada 27 November 2017.
Selepas tiga tahun membina hidup bersama, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata yang dinamakan Nur Fatima Aisya yang kini berusia sembilan bulan.