Vaksinasi remaja, hospital swasta sedia bantu kerajaan - Utusan Malaysia

Vaksinasi remaja, hospital swasta sedia bantu kerajaan

HOSPITAL swasta sedia memvaksinasi golongan remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun jika diminta kerajaan berbuat demikian. - GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hospital swasta sedia memvaksinasi golongan remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun jika diminta kerajaan berbuat demikian.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, kesediaan pihaknya setelah merujuk terdapat sebilangan besar hospital swasta menghentikan vaksinasi seperti diselaraskan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dan Protect Health Sdn. Bhd.

Namun, katanya, ada beberapa hospital swasta yang dipilih beroperasi semula dalam masa terdekat malah ada yang sudah memulakan vaksinasi menggunakan satu jenama vaksin untuk populasi dewasa.

“Mungkin komplikasi vaksin di usia remaja harus disahkan oleh pihak berkuasa dengan data diperoleh daripada pengeluar vaksin dan menerbitkan kajian ilmiah secepat mungkin untuk mengurangkan rasa takut dalam kalangan ibu bapa serta doktor.

“Jenis vaksin yang sesuai untuk kumpulan kanak-kanak ini juga penting agar kemudahan penjagaan kesihatan swasta yang mengambil bahagian membuat pengaturan diperlukan.

“Terdapat juga pilihan vaksinasi yang dapat membantu ibu bapa supaya anak-anak sekolah menengah mereka mendapat suntikan iaitu menyelesaikannya di sekolah sendiri jika masalah keselamatan diambil kira,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Pada 12 Ogos lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu sebagai Perdana Menteri berkata, remaja berusia 16 tahun dan 17 tahun akan menerima vaksin Covid-19 selepas suntikan berkenaan diberikan kepada golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas.

Kerajaan pada awalnya tidak memberi vaksin tersebut kepada remaja berumur 17 tahun ke bawah termasuk calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berikutan risiko kepada radang jantung golongan usia itu.

Bagaimanapun, pakar-pakar kesihatan menegaskan, pemberian vaksin untuk kanak-kanak umur 12 tahun ke atas adalah selamat sekali gus dapat mengurangkan risiko daripada jangkitan wabak berkenaan.

Untuk rekod, pada 1 Ogos lalu, Kemboja sudah memulakan suntikan vaksin Covid-19 kepada remaja berumur 12 hingga 17 tahun sebagai langkah membentuk imuniti berkelompok di negara berkenaan.

Dalam pada itu, Dr. Kuljit yang juga pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) berkata, terdapat beberapa pilihan vaksinasi Covid-19 yang dapat membantu ibu bapa agar anak-anak sekolah menengah mereka mendapat suntikan iaitu menyelesaikannya di sekolah sendiri.

“Hal ini sekiranya masalah keselamatan diambil kira tetapi lebih baik di hospital awam atau swasta. Pusat Pengambilan Vaksin (PPV) mega mungkin tidak kondusif untuk mereka melainkan tiada pilihan lain yang sesuai,” katanya.

Dalam pada, beliau berharap, hospital swasta dapat memperoleh pelbagai jenis vaksin Covid-19 untuk diberikan kepada orang ramai yang mencari perkhidmatan pihaknya dan terdapat kemudahan kesihatan awam yang tersedia bagi mereka yang memilihnya.

“Kami juga berharap terdapat rancangan strategik untuk vaksinasi Covid-19 bagi kedua-dua sektor kesihatan awam dan swasta supaya pemerolehan vaksin berjalan lancar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya