GEORGETOWN: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi golongan pelajar serta remaja di Pulau Pinang dimulakan esok.
Sebagai permulaan, program vaksinasi itu membabitkan para pelajar berusia 16 hingga 17 tahun yang beralamat tetap di Pulau Pinang tetapi berasrama penuh di luar negeri itu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, janji temu para pelajar berkaitan akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera dan ibu bapa; waris atau penjaga perlu hadir bersama.
“Mereka dinasihatkan supaya membawa dokumen-dokumen perlu terutama Borang Persetujuan Suntikan Vaksin Covid-19 bagi memastikan proses vaksinasi berjalan dengan lancar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu tambah Kon Yeow, pada Khamis pula, sesi vaksinasi membabitkan golongan pelajar sekolah berusia 16 hingga 17 tahun (tanpa komorbid) pula akan bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari.
Jelasnya, proses itu akan berlangsung di enam Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu di SPICE Convention Centre; Tapak Ekspo Seberang Jaya; Vangohh Eminent Hotel; Dewan Perda Convention Centre; Dewan Millenium dan Dewan Serbaguna Sungai Bakap.
Jelas beliau, semua janji temu juga akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera.
“Selain perlu hadir bersama-sama sepanjang proses pemberian vaksin, ibu bapa, waris atau penjaga juga perlu memastikan semua dokumen pengenalan diri pelajar dan Borang Persetujuan Suntikan Vaksin Covid-19 adalah ditandatangani serta dibawa bersama,” katanya.
Tambah beliau, bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun dengan komorbid, janji temu vaksinasi akan dijalankan di hospital-hospital terdekat dan makluman janji temu juga adalah menerusi aplikasi MySejahtera. – UTUSAN ONLINE