UTeM sedia terima pelajar bulan depan - Utusan Malaysia

UTeM sedia terima pelajar bulan depan

GHAZALI OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menggariskan panduan dan pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) sebagai persediaan menerima kemasukan pelajar secara berperingkat bulan depan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Ir. Dr. Ghazali Omar berkata, UTeM senada dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan menyambut baik saranan yang diumumkan oleh Menteri, Datuk Seri Noraini Ahmad.

Menurut beliau, PdP akan dilaksanakan  menerusi kaedah hybrid iaitu secara dalam talian  atau bersemuka mengikut kesesuaian program akademik yang sedang diikuti oleh pelajar terbabit.

“Pelajar yang dikategorikan berkeperluan akan diberi keutamaan. Mereka yang disenarai pendek oleh pihak fakulti sahaja dibenarkan mendaftar penginapan di kolej kediaman.

“Bagi pelajar yang berkeperluan dan tinggal di luar kampus boleh mengikuti PdP secara hibrid mengikut kesesuaian kursus yang diambil.

“Sementara itu, bagi pelajar yang tidak kembali ke kampus pula mereka masih perlu mengikuti PdP secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ghazali, hanya pelajar yang telah lengkap dua dos vaksinasi Covid-19 dibenarkan kembali ke kampus, di samping pematuhan penuh prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Katanya, sebanyak 91 peratus kakitangan universiti telah melengkapkan dua dos Imunisasi.

“UTeM akan terus memantau secara lebih dekat para pelajar bagi proses melengkapkan dua dos vaksinasi,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai pengurangan yuran, Ghazali berkata, keputusan kementerian mengurangkan bayaran sebanyak 20 peratus bagi semester satu sesi akademik 2021/2022 kepada semua pelajar warganegara membuktikan kerajaan terus prihatin dan sentiasa cakna terhadap mahasiswa. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN