MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merangkul anugerah utama di ASEAN Energy Awards (AEA) 2021 yang dianjurkan oleh ASEAN Centre for Energy.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Ir. Dr. Ghazali Omar berkata, UTeM memenangi kategori pengurusan tenaga dan pengumuman dibuat pada persidangan ke-39 ASEAN Ministers on Energy Meeting (AMEM) yang diadakan di Brunei.
Jelas beliau, AEA merupakan anugerah tertinggi di peringkat Asia Tenggara untuk mendorong dan mengiktiraf penyertaan serta minat sektor awam dan swasta dalam pembangunan tenaga di rantau berkenaan.
“Antara faktor utama kemenangan ini adalah kerana UTeM membawa satu anjakan baharu yang lebih komprehensif dan unik bagi kelestarian pengurusan tenaga untuk bangunan-bangunan besar di kampus universiti.
“Rentetan itu maka terhasilnya impak hebat kepada pengurangan penggunaan tenaga secara konsisten di samping pelaksanaan program-program efektif lain yang dijayakan bersama seluruh warga UTeM dengan slogan ‘Bangkit Bersama, Cekap Tenaga’,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Penolong Naib Canselor Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti UTeM, Prof. Madya Ts. Mohd. Rahimi Yusoff berkata, kejayaan di pentas nasional dan Asia Tenggara pastinya memberikan impak besar buat universiti, negara serta dunia.
Menurutnya, UTeM kini menjadi sumber rujukan kepada institusi dan organisasi lain untuk berkerjasama dalam menjayakan program kelestarian pengurusan tenaga.
“Selain itu ia turut memberikan kelebihan buat Malaysia untuk mempromosikan program pengurusan tenaga lestari di peringkat antarabangsa, di samping menjadi sumber rujukan di Asia Tenggara.
“UTeM turut memfokuskan ke arah menjadi institusi yang cemerlang dalam penyelidikan dan amalan berkaitan Demand Side Management (DSM) dan mencapai Tujuh Matlamat Strategik (SSG) untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
UTeM mensasarkan untuk menjadi antara 50 universiti terbaik dunia dalam UI Green Matrix Ranking. – UTUSAN