Kebelakangan ini, memang riuh dalam media sosial apabila ramai selebriti lelaki berkongsi gambar ‘berkampung tiga hari’ menuntut ilmu agama dengan pendakwah dan penceramah popular, Ustaz Ebit Lew.
Ramai sejuk mata melihat perubahan dan kemahuan barisan selebriti lelaki yang mula mendekatkan diri dengan agama. Bukankah itu satu perkara yang baik dan harus menjadi contoh oleh semua?
Namun tetap ada juga yang mempersoal niat mereka untuk berubah. Sampai ada yang gelar, “ustaz tiga hari”. Sampai hati tau! Bukan tugas kita untuk menghukum apatah lagi meneka niat dalam hati mereka.
Baguslah jika mereka ada usaha untuk mencari reda Tuhan. Malah, menuntut ilmu kan sememangnya perlu menjadi amalan kita. Tidaklah nanti orang cop berlagak pandai dan ‘palatao’ kan.
Malah kita juga sedia maklum (jika anda adalah pengguna media sosial yang aktif), ramai juga rakan selebriti yang meluahkan perasaan mahu berubah dan istiqamah dengan arah baharu mereka dalam mencari cinta Illahi.
Bagi Poklip, itu sesuatu yang sangat baik. Yalah, sebelum ini kalau artis sahaja, mesti ada yang cop kejar dunia. Kalau tua, orang cop kubur dah panggil masih gilakan populariti dan sanjungan.
Sekurang-kurangnya, bila ada golongan yang ikhlas dalam mengubah diri dan mencari keberkatan dalam hidup, kita harus sokong. Soal ikhlas atau sekadar tunggang agama itu, bukan tugas kita untuk melabel.
Tidak terkecuali, ramai juga artis yang mula berani melontarkan pendapat bernas dalam memastikan industri ini terus berkembang tanpa ada ‘kabel-kabel’ dalaman yang memalit lumpur ke kanvas seni.
Cukuplah. Jadilah seorang penggiat seni yang berintegriti. Usah tergoda dek populariti sementara dan wang ringgit yang pudar berkatnya.