SEREMBAN: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Datuk Dr. Siddiq Fadzil yang meninggal dunia, petang semalam.
Pusat Komunikasi Strategik USIM menerusi kenyataan hari ini berkata, Allahyarham yang merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah universiti berkenaan merupakan seorang tokoh dihormati dan disegani.
“Mewakili pengurusan dan seluruh warga universiti, Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Ridza Wahiddin menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham atas pemergian beliau yang disifatkan sebagai seorang tokoh yang begitu dihormati dan disegani.
“Sesungguhnya khidmat bakti serta jasa Allahyarham kepada USIM dan sumbangan beliau kepada masyarakat khususnya dalam pembangunan ummah dan syiar Islam tidak dapat dinafikan, semoga rohnya dicucuri rahmat,” kata kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu juga, Allahyarham dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah USIM yang keempat bagi menggantikan Tan Sri Datuk Prof. Emeritus Dzulkifli Abdul Razak untuk tempoh tiga tahun bermula pada 1 Oktober 2018 hingga 30 September depan.
Allahyarham yang merupakan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2018 serta bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Bangi, Selangor pada pukul 6.32 petang semalam.