TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melangkah ke kedudukan 801-1000 dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2022.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, pencapaian membanggakan itu adalah usaha semua pihak yang konsisten dan komited serta bekerja keras dalam memastikan UPSI dapat melonjakkan kedudukannya.
Malah, katanya, pencapaian itu juga disifatkan sebagai hadiah sempena sambutan 100 tahun legasi pendidikan Sultan Idris Training College (SITC) sejak 1920 sehingga kini.
“Alhamdulillah, buat pertama kali dalam sejarah, UPSI menempatkan diri dalam kedudukan 801-1000 iaitu ‘top’ tiga peratus negara seluruh dunia dan kedudukan kelapan antara universiti di Malaysia,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, keputusan luar biasa itu juga adalah hasil sokongan dan komitmen penuh warga UPSI dalam semua aspek penarafan (THE) iaitu dari segi pengajaran, penyelidikan, sitasi, keterlihatan global dan penjanaan kewangan.
Katanya, diharapkan dengan kejayaan berkenaan dapat membantu UPSI terus memacu kecemerlangan dan bersemangat untuk meningkatkan nama dan keterlihatan universiti di peringkat global.
“Kita menyedari bahawa kejayaan mendapat tempat seperti sekarang disumbangkan oleh seluruh warga UPSI yang gigih mengurus dan menghasilkan segala inovasi dalam penyelidikan, penerbitan jurnal, penulisan artikel, pengkomersialan, serta kemasyarakatan yang berimpak tinggi hingga memberi nilai terhadap kedudukan ranking.
“Dengan pencapaian ini, UPSI akan terus berusaha untuk berada setanding dengan universiti-universiti ternama dunia,” katanya. – UTUSAN ONLINE