TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melaksanakan program Persekolahan Pintar dari Rumah (UPSI Smart Home Schooling) yang melibatkan 2,200 pelajar dari 23 sekolah negeri di tiga negeri mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
Naib Canselor UPSI, Prof. Dato Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, program itu dilaksanakan oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) universiti itu melibatkan 17 sekolah di Perak dan Selangor serta enam sekolah di Johor.
“UPSI sebagai peneraju universiti pendidikan di negara ini bertanggungjawab merealisasikan agenda Universiti Untuk Masyarakat (U4S) dan Agenda Keempat dalam memacu kesejahteraan komuniti.
“Ia dilakukan dengan menggiatkan sumbangan berbentuk melampaui akademik yang berkonsepkan komuniti berpendidikan seperti yang dihasratkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Sementara itu, Pengarah UCTC, Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin berkata, objektif utama program itu adalah untuk meningkatkan kualiti pendidikan pelajar B40 bagi calon SPM 2021 dalam mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah serta memberikan khidmat bantuan kepakaran pensyarah UPSI kepada komuniti terlibat. – ONLINE DONE