TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) buat julung kalinya menganjurkan taklimat mengenai media, kaedah penulisan berita dan peranannya dalam menghebahkan pencapaian universiti itu, kepada seluruh pusat tanggungjawab (PTj) dan fakultinya.
Program anjuran Bahagian Komunikasi Korporat UPSI itu dilakukan secara dalam talian dan disertai 50 peserta sebagai usaha universiti tersebut untuk memperkasa penulisan dan hebahan media kepada orang ramai.
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporatnya, Prof. Madya Dr. Mohd. Izwan Shahril berkata, inisiatif itu dilaksanakan sebagai sebahagian pelan strategik jabatannya menampilkan seluruh pusat tanggungjawab universiti dalam media massa dengan lebih menyeluruh.
“Sebagai universiti pendidikan nombor satu, adalah penting untuk UPSI tampil sebagai pusat pengajian yang memperkasa penyaluran maklumat kepada khalayak dengan pantas tetapi beretika, sesuai peranannya menjana dan menatar ilmu menerajui pengajaran, penyelidikan, penerbitan, perundingan dan khidmat masyarakat, dalam konteks pembangunan insan untuk mencapai wawasan negara,” katanya ketika merasmikan program taklimat itu.
Taklimat yang berlangsung selama hampir tiga jam itu disampaikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Dr. Ghazali Din yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi universiti tersebut.
Menurut Izwan, selaras dengan perkembangan teknologi, maklumat-maklumat tentang pencapaian universiti seharusnya dikongsi dengan capaian segera untuk maklumat awam.
Jelasnya, selain laporan berita arus perdana, laporan berita yang sumbangkan oleh pegawai PTj yang akan dikenali sebagai pegawai Umedia, turut akan dimuatkan dalam kandungan portal berita e-pena, portal berita rasmi UPSI dan merangkumi berita-berita pendidikan Malaysia secara umumnya.
“Pegawai-pegawai yang datang daripada pelbagai latar belakang jabatan universiti didedahkan dengan kaedah penulisan yang berkesan seperti mengenal pasti isu, masalah dan peluang selain didedahkan format penulisan berita dengan tepat dan berkesan, menepati keperluan penerbit berita dan selera pembaca,” jelasnya lagi.
Sementara itu, salah seorang peserta, Pegawai Penerbitan Pusat Alumni UPSI, Muhammad Zafir Mohd. Saman berpendapat, program taklimat pengurusan media dapat membantu pegawai di jabatan untuk menyerlahkan program-program berkaitan di PTj.
“Sebagai PTj yang berurusan dengan pihak luar seperti alumni, inisiatif taklimat penulisan berita ini amat berguna untuk saya tampilkan berita penting melibatkan jabatan selain berkomunikasi dengan lebih baik pada khalayak menerusi penulisan berita,” jelasnya. – UTUSAN