KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini melancarkan Modul Pengurusan Pemuliharaan Penyu dalam usaha mengekalkan kelestarian pemuliharaan haiwan itu di negara ini.
Naib Canselornya, Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, modul itu mengandungi garis panduan pengurusan mengenai pendaratan dan persarangan penyu bagi meningkatkan kefahaman orang awam mengenai hidupan marin itu.
“Modul latihan yang terbahagi kepada jurulatih dan sukarelawan ini diharap dapat dijadikan rujukan di semua pusat konservasi dan santuari penyu termasuk agensi pelancongan di seluruh Malaysia.
“Pembangunan modul ini seiring dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan perkongsian aset menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS),” katanya ketika melancarkan modul berkenaan secara dalam talian hari ini.
Sementara itu, Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd. Uzair Rusli berkata, pembangunan modul sukarelawan sudah diguna pakai di Pusat Penyelidikan UMT sejak 1998 lagi dan sedia untuk dikembangkan ke seluruh negeri melalui program sukarelawan berbayar.
Katanya, menerusi inisiatif berkonsepkan pendidikan pelancongan atau edutourism itu, UMT bakal merintis produk pelancongan berasaskan konservasi penyu. – UTUSAN ONLINE