Tukar strategi dulu sebelum jadikan Covid-19 ‘endemik’

Tukar strategi dulu sebelum jadikan Covid-19 ‘endemik’

VAKSINASI Malaysia ketika ini di kelompok tertinggi namun kadarnya semakin menurun bagi populasi setiap 100 orang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan diminta tidak bertindak tergesa-gesa menukar status Covid-19 daripada pandemik kepada endemik selagi kes jangkitan harian dan kadar kematian masih tinggi di seluruh negara.

Ketua Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, setakat ini status Covid-19 yang melibatkan populasi besar dengan bilangan kes tinggi di seluruh dunia kekal diisytiharkan sebagai ‘pandemik’ oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

SHAHIR ADNAN

‘Endemik’ pula kata beliau, bermaksud kejadian penyakit yang sentiasa wujud dalam masyarakat atau sesuatu tempat, namun pada kadar jangkitan yang stabil dan rendah seperti penyakit denggi.

“DPIM berharap Menteri Kesihatan segera melaksanakan perubahan strategi bagi mengekang Covid-19 dan pertambahan kes serta kematian harian. Peluang kedua ini diharap tidak disia-siakan oleh menteri baharu ini agar kita dapat keluar daripada pandemik ini. 

“Strategi baharu seharusnya dilaksanakan sebelum kita masuk kepada fasa endemik. Jangan tergesa-gesa untuk mengumumkan status endemik sekiranya kes dan kematian harian masih pada kadar yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini dilaporkan berkata, Covid-19 dijangka memasuki fasa endemik di Malaysia, selepas sekurang-kurangnya 80 peratus populasi dewasa di seluruh negara lengkap divaksin menjelang Oktober.

Mengulas lanjut, Shahir berkata, strategi diguna pakai kerajaan ketika ini, iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berpanjangan dengan pembukaan sektor secara berfasa, masih gagal menurunkan bilangan kes baharu dan kadar kematian harian. 

“Negara kita melaksanakan PKP 3.0 sejak 12 Mei 2021 hingga tiada penghujung dan hari ini kita sudah dibataskan pergerakan selama 114 hari atau 3 bulan 22 hari. Namun, fakta dan sains menunjukkan kita belum berjaya menurunkan kes dengan strategi sama..

“Bandingkan negara lain yang melaksanakan 14 hari ditambah 14 hari kawalan pergerakan ketat seperti di New Zealand sehingga mereka dapat menurunkan kes harian kepada angka sifar. Kali ini, mereka juga berjaya mengekang penularan varian Delta,” katanya.

Tambah beliau, dari segi vaksinasi, Malaysia ketika ini di kelompok tertinggi, namun kadarnya semakin menurun bagi populasi setiap 100 orang dan jika kadar jangkitan harian terus naik, negara bakal berdepan masalah lebih serius pada dua atau tiga minggu akan datang.

“Walaupun Perdana Menteri menyasarkan 100 hari untuk menilai prestasi setiap menteri, DPIM berpandangan Menteri Kesihatan perlu bertindak cepat kerana Covid-19 melibatkan nyawa rakyat. 

“Dalam tempoh tujuh hari lepas, angka kematian harian ialah 1,980 orang, dengan purata 283 kematian sehari. Sebagai ilustrasi, angka kematian harian ini umpama tujuh pesawat Airbus A330 penuh penumpang telah terhempas hanya dalam tempoh seminggu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya