GERIK: Seorang tukang kebun Kolej Vokasional Gerik maut setelah kereta dipandunya terbabas melanggar pokok di Kilometer 1, Jalan Baru Kuala Rui di sini, hari ini.
Nahas pada pukul 8.01 pagi itu mengorbankan Khairulsalam Mat Zain, 53, di lokasi kejadian akibat kecederaan di beberapa bahagian badan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Azizan Hassan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang memandu kereta jenis Nissan Sentra dalam perjalanan dari arah Bersia menuju ke Gerik.
Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar pokok di bahu jalan sebelah kanan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa cedera dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.
“Siasatan lanjut nahas tersebut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE