Tipu seorang lelaki, penarik kereta didenda RM4,000

Tipu seorang lelaki, penarik kereta didenda RM4,000

R. KAMALANATHAN (tengah) didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah menipu seorang lelaki di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang penarik kereta didenda RM4,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menipu seorang lelaki sebanyak RM600 berhubung penarikan kereta daripada pihak bank, Mei lalu.

Sebaik hukuman dijatuhkan, tertuduh, R. Kamalanathan, 40, dilihat menangis teresak-esak daripada kandang tertuduh.

Hukuman denda itu dijatuhi Hakim Rozilah Salleh selepas pertuduhan pilihan selesai dibacakan jurubahasa.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara enam bulan jika tertuduh gagal membayar denda terbabit.

Dalam penghakimannya, Rozilah menasihati tertuduh agar menjadikan kesalahan ini sebagai kali pertama dan terakhir dia melakukan perkara sedemikian.

“Walaupun RM600 atau RM1, tetap salah. Datang ke mahkamah (sebagai tertuduh) pun satu (perkara) memalukan diri dan keluarga. Kita hendak hidup biar tenang. Bila jadi macam ini, hendak tidur pun tidak tenang,” tegasnya.

Mengikut pertuduhan pilihan, bapa kepada dua orang cahaya mata itu didakwa telah memperdayakan seorang lelaki berusia 26 tahun untuk menyerahkan RM600 dengan mempercayai kereta jenis Proton Iriz atas nama adik lelaki tersebut akan ditarik pihak bank.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Jalan Stesen, Klang dekat sini pada 24 Mei lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika melakukan rayuan juga dilihat menangis dengan menyatakan perlu menanggung bapanya berusia 70 tahun yang baharu melakukan pembedahan pintasan jantung dan ibunya berusia 62 tahun merupakan seorang Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Saya juga mempunyai dua orang anak berusia 8 dan 10 tahun serta seorang isteri dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini. Saya mohon maaf sangat-sangat,” jelasnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noryusriza Zulkifli dan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Aliff Shahruzaman memohon hukuman setimpal sebagai pencegahan dan pengajaran berikutan rasuah adalah kesalahan serius dan boleh menjadi barah dalam masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya