KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh dipertanggungjawabkan membabitkan 12 tuduhan pecah amanah kerana buku cek peribadi dan Yayasan Akalbudi dipegang oleh bekas Setiausaha Eksekutifnya, Mazlina Mazlan@Ramly.
Peguam mewakili Ahmad Zahid, Hamidi Noh berkata, Mazlina selaku saksi utama pendakwaan dalam keterangan mendakwa dia mengeluarkan cek ditandatangani awal Ahmad Zahid atau yang mempunyai cop tandatangan tertuduh tanpa pengetahuan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Katanya, saksi juga mengaku buku cek berkenaan dalam kawalan dan jagaannya serta memegang kunci laci di mana ia disimpan manakala tertuduh tidak mempunyai akses.
Hamidi berkata, pihak pendakwaan ketika perbicaraan mesti membuktikan dalam kes mereka berkenaan melampaui keraguan munasabah dan tidak boleh meletakkan liabiliti jenayah berdasarkan cek yang dicop dan ditandatangani awal.
“Mereka belum membuktikan kes prima facie bagi tuduhan pecah amanah dan tertuduh berhak dibebaskan,” ujar Hamidi dalam hujahannya di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah.
Ahmad Zahid, 68, kini dibicarakan atas tuduhan 47 pendakwaan iaitu 12 melibatkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.
Presiden UMNO itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.
Tambah Hamidi lagi, Mazlina menganggap dia mendapat keizinan secara menyeluruh daripada Ahmad Zahid untuk mengeluarkan cek tanpa kehadiran beliau.
“Ahmad Zahid tidak pernah sama sekali memberinya arahan sebegitu tetapi (Mazlina) pernah sekali membuat permintaan dan keizinan diberikan,” katanya.
Hamidi berkata, Mazlina dalam pemeriksaan balas juga bersetuju dengan pihak pembelaan bahawa cop tandatangan Ahmad Zahid hanya boleh digunakan untuk sijil dan kad ucapan Hari Raya.
Pasukan pembelaan akan menyambung hujahan esok. – UTUSAN ONLINE