PETALING JAYA: Pelakon terkenal, Amar Asyraf meluahkan rasa terharu kepada rakan-rakan artis dan orang ramai yang tampil menyokong perniagaannya semasa melakukan Instagram Live.
Menerusi siaran langsung tersebut, pelakon drama popular Setia Hujung Nyawa itu menzahirkan penghargaan apabila ramai di kalangan selebriti antaranya pelakon Zahiril Adzim dan Johan Asari membeli produk perniagaanya.
Lebih membuatkan pelakon itu sebak, apabila pelawak terkenal, Zizan Razak yang memasuki Live tersebut memaklumkan ingin memberi RM1,000 dengan membeli baju serta sambal jualannya.
Sekaligus, Zizan meminta Amar untuk menginfakkan kesemua produk-produk yang dibelinya itu kepada orang ramai.
“Jualan baju. Allahuakhbar, hari ini Allah menghantar Zizan Razak untuk saya. Kemudian, Johan Asari tolong saya.
“Tadi, nampak seorang lagi saudara saya, Zahiril Adzim juga. Terima kasih menolong saya, betapa jasa tuan puan Allah sahaja yang dapat membalas,” katanya di Instagram.
Dalam pada itu, Amar juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang turut sama membeli produk jualannya itu semasa siaran langsung di Instagram, semalam.
“Terima kasih juga kepada ramai lagi yang membeli untuk bersedekah baju pada penonton. Saya tidak tahu nak cakap macam mana.
“Kalau ada rakan-rakam terdekat saya tidak perasan tadi, minta maaf. Terima kasih tolong saya. Saya amal tidak banyak, Alhamdulillah Allah Kabul doa saya semalam.
“Kalaulah nampak saya di neraka, tuan puan tariklah saya ke syurga. Terima kasih tuan puan yang mulia,” coretnya panjang.