PETALING JAYA: Pelakon terkenal, Datin Paduka Eina Azman menzahirkan penghargaan terima kasih buat pelakon Betty Rahmad, kerana mengambil inisiatif mengadakan bacaan Yasin secara virtual di Facebook, semalam.
Sehubungan itu, sesi bacaan tersebut dilakukan khas buat dirinya, suami, Datuk Kaiser Gurmeet Abdullah serta dua pembantu rumahnya yang dijangkiti virus Covid-19.
“Alhamdulillah, terima kasih kerana buat bacaan Yasin untuk suami dan bibik saya.
“Semoga Allah permudahkan segala urusan awak dan sentiasa dilindungi,” katanya di Instastory.
Sesi bacaan Yasin secara virtual tersebut, dilakukan selepas solat maghrib menerusi Kumpulan Kelas Mengaji Online di Facebook dengan menjemput orang ramai turut sama menyertai bagi yang berkelapangan.
Terdahulu, Eina memaklumkan dia, suami serta dua orang pembantu rumahnya disahkan positif Covid-19 pada hari ulang tahun perkahwinannya yang ke-7.
Walaupun berasa sedih dengan ujian tersebut, namun dia reda dengan ketentuanNya dan menerima dengan hati yang terbuka.