PUTRAJAYA: Pengoperasian institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengikut ketetapan fasa baharu Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa tersebut mana-mana negeri.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, ketetapan itu sebagaimana diputuskan pihaknya sebelum ini sekali gus peralihan fasa baharu bagi negeri Johor, Pahang dan Negeri Sembilan berkuat kuasa hari ini mengambil kira ketetapan itu bagi pembukaan sekolah.
Sehubungan itu, pembukaan institusi pendidikan di bawah KPM bagi Johor akan bermula pada 10 Oktober ini berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 2 PPN.
“Pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi negeri Pahang pula kekal pada 4 Oktober berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 2.
“Memandangkan negeri itu ke Fasa 3 hari ini, maka pengoperasian institusi pendidikan di negeri itu berdasarkan ketetapan negeri Fasa 3 PPN bermula pada 11 Oktober,” katanya.
Menurut KPM, bagi Negeri Sembilan, pembukaan institusi pendidikan bawah KPM kekal pada 4 Oktober berdasarkan ketetapan pengoperasian bagi negeri Fasa 3 PPN.
Katanya, memandangkan negeri itu beralih ke Fasa 4 pada hari ini, maka pengoperasian institusi pendidikan berdasarkan Fasa 4 PPN hanya akan bermula pada 18 Oktober.
Dalam pada itu, KPM berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberi kelulusan untuk murid kelas Tingkatan 6 Semester 2 dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level) di negeri Fasa 1 hadir ke institusi pendidikan tanpa penggiliran.
Oleh itu, katanya, pengoperasian institusi pendidikan di negeri Kedah akan bermula pada 10 Oktober ini untuk kumpulan murid tersebut, manakala murid lain kekal mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
“Susulan pengumuman Pulau Langkawi sebagai kawasan gelembung pelancongan pada 16 September lalu, pengoperasian institusi pendidikan bermula pada 3 Oktober ini adalah berdasarkan ketetapan negeri Fasa 4 PPN.
“Bagi institusi pendidikan bawah KPM di negeri lain yang tidak terlibat dengan peralihan fasa pada hari ini, pengoperasian institusi pendidikan adalah berdasarkan ketetapan fasa sedia ada seperti mana yang diumumkan KPM pada 12 September lalu,” katanya.
KPM menjelaskan, institusi pendidikan bawah KPM ini merujuk kepada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru.
Katanya, ia juga terpakai kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.
KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri. – UTUSAN ONLINE