KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan atau lebih dikenali sebagai Lizzy, mengaku sentiasa berkeinginan untuk menghasilkan lagu baharu buat peminat-peminat yang sering bertanya namun terpaksa menangguhkan urusan itu buat masa ini.
Menurut Lizzy, ini kerana satu daripada masalah utama yang sedang dihadapinya adalah proses pertukaran syarikat pengurusan yang masih belum selesai sepenuhnya.
“Nak buat lagu atau single baharu sekarang agak susah sedikit sebab saya urusan pertukaran syarikat pengurusan sebelum ini masih belum selesai. Syarikat Warner Music Malaysia tidak mahu melepaskan saya.
“Ada beberapa isu guaman dan saya tak nak kena saman atau apa-apa. Susah sikit untuk dijelaskan.
“Saya sebenarnya ada perancangan nak keluarkan lagu sekitar Disember ini tapi nampaknya tak dapat lagilah selagi tak selesai urusan itu,”katanya ketika ditemui pada sidang media drama Gerak Khas Undercover secara virtual semalam.
Selain itu, menurut penyanyi lagu Knock Knock dan Semua Sudah ini, dia tidak tahu sebab pihak Warner Music bertindak menangguhkan segala urusan pertukaran tersebut sehingga kini.
“Saya sudah hantar surat rasmi kepada pihak Warner Music tapi tiada sebarang jawapan daripada mereka. Bila mereka tak balas, saya jadi takutlah nak buat apa-apa (berkaitan lagu). Saya perlukan hitam putih daripada pihak mereka,”katanya.
Dalam pada itu, Lizzy meletakkan harapan agar isu ini segera diselesaikan secara damai di kedua-dua belah pihak.
“Saya pun tak nak drama. Tak nak cakap buruk. Tapi saya adalah rasa macam kena buli sikitlah. Itu saja.
“Surat sudah dihantar sejak Februari lalu selepas tiga tahun bersama Warner Music. Saya nak selesaikan segera supaya dapat buat lagu baru dan fokus pada bidang nyanyian.
“Jadi sementara itu, saya fokus dulu pada bidang lakonan sekarang,”katanya.
Untuk rekod, kali terakhir Lizzy menghadiahkan buah tangan buat peminatnya adalah menerusi single berjudul Shhh ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong pada tahun 2019.