Rasanya semua kenal Datuk Fazley. Kalau tidak sebagai penyanyi atau pelakon, dia juga popular kerana kemahiran memasak dan idea kreatif dalam bidang kulinari. Tidak hairan, ramai yang mengagumi kehebatan Fazley. Dia juga peramah tau!
Poklip sendiri cukup senang apabila menemu bual figura seorang ini. Tanyalah apa sahaja soalan termasuk yang panas melecur, dia akan jawab dengan senyuman. Memang tak pernah dengar lagi dia mengamuk atau mencebik dengan soalan wartawan.
Tetapi Poklip nak puji keberanian Fazley dalam mengetengahkan warisan makanan tempatan ke mata dunia. Yalah, siapa sangka daging salai masak lemak cili api ada di Starbucks! Bukan calang-calang pencapaian tau. Bertaraf antarabangsa.
Malah, dia juga berkolaborasi dengan jenama donut antarabangsa, Krispy Kreme. Sekarang ada donut puding raja dan kek batik okey. Memang berjiwa Malaysia sangat! Itu yang kita mahu dan perlu dibanggakan. Memartabatkan tradisi ke ke dunia.
Rasanya, Fazley sendiri sebenarnya sudah lama memasang impian dan sentiasa komited dalam mengangkat resipi warisan Melayu untuk santapan masyarakat luar. Tidak hairan, apa sahaja kolaborasi pasti ada sentuhan kemelayuannya.
Kita seharusnya berbangga dengan pencapaian anak seni kita yang berjaya memahat nama dan meletakkan Malaysia di mata dunia. Biarpun sekecil mana sumbangan dan tidak kira sesiapa pun, kita harus ringan memberikan penghargaan walaupun sekadar ucapan tahniah!
Sekurang-kurangnya, mereka meletakkan negara di satu tahap yang lebih tinggi. Lebih-lebih lagi di kala semangat patriotik semakin pudar dalam jiwa generasi muda kita. Kalau dulu kita menyambut kemerdekaan dengan penuh semangat tetapi kini, pudar.
Mungkin pandemik harus disalahkan tetapi kita sendiri perlu menyemarakkan semangat cintakan negara dalam apa sahaja yang dilakukan. Antara contoh terbaik, usaha yang dilakukan Fazley. Orang kata nak pikat seseorang, kita mula dari perutnya. Tak gitu!