AGAK tipikal jika penulis sifatkan figura yang satu ini sebagai nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi.
Kerana seadanya Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin itu sememangnya tidak perlu lagi diperkenalkan dek kemasyhuran dan dirinya yang terlalu dekat di hati kita rakyat Malaysia.
Minat atau pun tidak, itu nombor dua. Yang pasti, setiap kita tentu sering mengikuti perkembangan penyanyi nombor satu ini, sedari beliau menceburkan diri sehinggalah ke hari ini.
Kini, Siti Nurhaliza bukan lagi sekadar penyanyi istimewa yang kita kenali. Dialah isteri, ibu, anak, usahawan, penghibur dan tetap sebagai idola kesayangan jutaan peminat seantero dunia.
Ternyata, Allah SWT menghadirkan seorang Siti Nurhaliza itu sempurna dengan bakat teristimewa, seiring kekuatan yang menjadi bekalan untuk melayari arus kehidupannya.
Di sebalik kejelitaan dan budi pekerti wanita Melayu sejati, Siti Nurhaliza tabah dan kuat dalamannya. Sekian lama penulis ingin bertanya, bagaimana beliau boleh jadi sekuat itu?
Kata Siti Nurhaliza, dia bersyukur atas segala nikmat dan kelebihan yang membolehkan dirinya menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin.
“Saya melihat diri sebagai wanita biasa, ada kekurangan, kesilapan dan kelemahan. Saya bukan sempurna malah banyak belajar daripada orang sekeliling seperti ibu, ibu mertua dan sesiapa sahaja yang boleh saya jadikan panduan.
“Alhamdulillah, Allah SWT beri kemudahan untuk saya bekerja. Menjadi ibu bukan mudah, menyanyi dan menjadi anak seni pula. Menjadi usahawan juga menguji kerana saya tidak berpendidikan tinggi dalam bidang perniagaan. Pengalaman saya, melihat dan turun padang dalam proses menyiapkan produk, ini semua memberi semangat dan kekuatan.
“Sebagai seorang anak dan seorang ibu pula, itu tanggungjawab. Kehidupan seorang wanita yang multi tasking bukan senang, memang adakalanya penat yang teramat. Tetapi, saya lakukan semua dengan kasih sayang, suka dan minat. Itulah yang memudahkan,” katanya.
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan anak kelahiran Bukit Segumpal, Pahang ini pastinya melihat sendiri bagaimana Siti Nurhaliza semakin rancak mengembangkan perniagaan produk makanan kesihatan, BeauSiti yang dimuliakannya sejak beberapa tahun lalu.
Ramai yang tertanya, mampukah penyanyi kesayangan ramai ini mengekalkan momentum sebagai penyanyi dalam kesibukannya menguruskan perniagaan yang semakin berkembang itu?
Ujarnya, dia akan cuba seimbangkan, antara nyanyian dan perniagaan. Malah, dia masih menaruh impian untuk menghiburkan di dalam konsert istimewa sempena penglibatan dalam dunia nyanyian selama 25 tahun.
“Saya akan cuba seiringkan, nyanyian dan perniagaan. Insya-Allah semua akan diatur dengan baik dan teliti.
“Impian saya adalah untuk beraksi dalam konsert sempena 25 tahun dalam industri. Tetapi, masih belum dapat kebenaran untuk membuat persembahan.
“Sekiranya kerajaan benarkan, barulah akan saya fikirkan dan kongsikan kepada anda semua tentang perancangan untuk konsert tersebut,” katanya lagi.
Tambahnya, jika diberi kesempatan, dia masih mahu menghiburkan di hadapan penonton. Baginya, itu satu kepuasan dan keseronokan sebagai penghibur.
“Artis itu akan seronok beraksi dalam konsert yang melibatkan kehadiran penonton di depan mata. Itu lebih memberi kesan kepada saya.
“Tetapi buat masa ini, kita ikut apa yang kerajaan tetapkan. Kalau boleh, pastikan yang hadir lengkap dua dos suntikan vaksin dan lakukan ujian saringan Covid-19. Ini cuma apa yang saya bayangkan, kerajaan mungkin ada ketetapan.
“Kita lihat pada keadaan semasa. jika masih belum selamat, konsert secara virtual pun boleh. Saya sesuaikan dengan cara saya,” ujarnya.
Tidak lagi mahu bersaing
Selama 25 tahun mencurah bakti sebagai anak seni, dapat kita saksikan betapa perjalanan seorang Siti Nurhaliza itu ada turun naik dan simpang siurnya.
Hanya Tuhan sahaja tahu, apa jenis dugaan dan kesukaran penyanyi bersuara emas ini dalam mencipta nama sebagai penyanyi berjaya yang masih disanjung sehingga ke hari ini.
Bagi Siti, persaingan dan berlumba-lumba untuk duduk di atas itu menjadi satu perkara yang sudah ditinggalkan.
Katanya, dalam kedudukan sekarang, dia lebih selesa untuk mengekalkan produktiviti, memberi yang terbaik dan mengekalkannya untuk peminat tersayang.
“Saya sudah tidak lagi mahu bersaing lebih-lebih lagi mereka yang muda. Saya cuma ingin kekalkan apa yang ada, nyanyian yang bagus, persembahan yang bagus dan konsisten.
“Saya juga ingin memberikan yang terbaik dalam persembahan supaya mereka kenang saya sebagai penyanyi yang sentiasa menjadi contoh yang baik untuk diikuti,” ujarnya.
Selain itu juga, Siti Nurhaliza menyimpan hasrat untuk lebih dekat dengan masyarakat menerusi perniagaan dan perusahaan yang dijalankannya.
Katanya, pada peringkat ini, tiada apa yang lebih bermakna selain berbakti kepada masyarakat dan membantu mereka mengecapi kehidupan yang lebih baik dan bermakna.
“Saya nak lebih dekatkan diri dengan masyarakat, jadi usahawan berjaya dan bantu untuk melahirkan lebih ramai jutawan.
“Diharapkan perniagaan saya, SimplySiti dan BeauSiti ini dapat menjadi usaha yang berterusan hingga anak dan cucu,” katanya lagi.
Kejutan 25 tahun
Ketika disoal tentang perancangan untuk sambutan ke-25 tahun sebagai anak seni, jelas Siti menyimpan satu kejutan yang besar.
Beliau ketika menjawab pertanyaan itu tidaklah mendedahkan semua, hanya memberi bayangan tentang sesuatu yang istimewa bakal dihadiahkan buat peminat yang setia bersamanya selama ini.
“Ya, saya akan keluarkan single. Kali ini istimewa, sempena penglibatan sebagai penyanyi selama 25 tahun.
“Untuk single ini, saya akan bekerjasama dengan seorang maestro muzik dari Indonesia. Siapa dia, biarlah menjadi rahsia buat masa ini.
“Kami masih berhubung dan berbincang. Pihak mereka telah memberi kerjasama sangat baik. Doakan saya dapat muzik yang bagus, susunan yang hebat untuk keluarkan sebuah single terbaik untuk 25 tahun,” jelasnya lagi.