PETALING JAYA: Demikian laungan pasukan terhadap Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang mahu memberikan kemenangan percuma kepada pihak lawan jika terdapat mana-mana pegawai dan pemain didapati positif Covid-19.
Pasukan-pasukan yang akan bertanding dalam Piala Malaysia menganggap peraturan tersebut wajar bagi memastikan
kelancaran kejohanan edisi ke-100 itu, yang akan bermula pada 25 September ini.
MFL tidak boleh menangguhkan lagi perlawanan melibatkan pasukan yang terpaksa menjalani kuarantin akibat kes Covid-19 kerana Liga Malaysia perlu berakhir sebelum hujung November ini bagi mengelak masalah kontrak pemain bersama pasukan.
Malah, kalendar Liga Malaysia juga perlu dihabiskan mengikut jadual yang ditetapkan memandangkan Piala AFF akan bermula Disember ini.
Antara pasukan yang menyokong adalah Sri Pahang, menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Suffian Awang, dengan menyifatkan peraturan itu akan membuatkan semua pasukan berwaspada sepanjang masa dalam menjaga prosedur operasi standard (SOP).
“Pada saya, SOP yang telah ditetapkan itu memang kita kena ikut juga demi keselamatan semua orang.
“Pemotongan tiga mata yang diberitahu oleh MFL itu bagi saya memang pahit untuk ditelan, tetapi itulah senario bermain bola sepak dalam keadaan pandemik yang perlu kita terima.
“Sebab kita inginkan kelancaran kejohanan, tidak mahu perlawanan tertangguh lagi dan saranan saya adalah sekarang menjadi tanggungjawab pasukan sendiri untuk lebih berdisiplin dan memastikan diri tidak dijangkiti.
“Kita faham komitmen berat daripada MFL dan kita sendiri pun kena ada komitmen masing-masing juga, jadi kita terima keputusan itu,” katanya.