Siri animasi Nabi dapat sambutan ramai - Utusan Malaysia

Siri animasi Nabi dapat sambutan ramai

DIANA Amir bersyukur dengan sambutan ramai terhadap siri animasi Nabi yang ditayangkan di saluran Nurflix sejak 10 Ogos lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bermula 10 Ogos lalu, dua siri animasi dengan tajuk Habibullah dan Kalimullah dipertontonkan kepada umum yang rata-rata penonton berasakan kandungan siri sebegini sangat sesuai sebagai tontonan seisi keluarga.

Penerbit Eksekutif Nurflix Junior, Diana Amir melahirkan rasa syukur kerana siri-siri kenabian ini mula mendapat perhatian bukan sahaja golongan kanak-kanak malah golongan dewasa.

“Dengan adanya sari kata Bahasa Melayu dalam siri ini, penonton secara tidak langsung dapat mempelajari bahasa Arab dengan lebih mudah dan menyeronokkan. Malah, saya juga sedang dalam proses mempelajari bahasa Arab dan ini adalah antara platform mudah untuk saya menggilap pertuturan bahasa itu.

“Selain itu, visual yang menarik dan menghiburkan mampu membuatkan penonton lebih mudah memahami naratif cerita selain usaha pembacaan sendiri. Terdapat banyak fakta menarik yang selalunya jarang diketengahkan. Contohnya, mengapa Abdul Muttalib digelar Shaybah? Ini kerana dari kecil sudah ada uban di kepalanya,” katanya.

Selain itu, kata Diana, siri itu mengetengahkan Rasulullah sebagai contoh keperibadian mulia yang wajib menjadi ikutan umat Islam.

“Paling penting, apabila penonton memahami dan mengetahui perjalanan sirah nabi ini, secara tidak langsung kecintaan kepada nabi dapat dipupuk dari peringkat kanak-kanak lagi,” katanya.

Siri animasi Habibullah adalah kisah perjalanan kehidupan Rasulullah SAW yang membawa penonton menelusuri sirah nabawiyah secara santai dan menghiburkan.

Bahagian pertama kisah ini bermula dari period sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW, kelahiran dan asuhan baginda, ramalan dan isyarat Mekah, hijrah ke Madinah dan kemudian peristiwa hingga pertempuran Badar terakhir.

Siri ini memaparkan keindahan akhlak sebenar Rasulullah saw yang mana naskhah ini bertujuan menyampaikan risalah sebenar tentang mengapa Baginda diangkat sebagai Khatam an-Nabiyyin iaitu Penutup Segala Nabi.

Sementara itu, siri animasi Kalimullah pula berkisar pada kisah hidup Nabi Musa AS, yang disebut ‘Speech of God’.

Rentetan siri ini dimulai sebelum kelahiran Musa AS, mengetahui bagaimana Bani Israel sampai di tanah Mesir, kemudian peringkat setelah kelahiran dan asuhannya sehinggalah kepada peristiwa yang terjadi tempat antara Nabi Musa AS dan Firaun.

Akan datang, bakal dipertontonkan di Nurflix ialah siri tentang Nabi Adam AS (hujung Ogos), Nabi Nuh AS (hujung Ogos), Khalilullah: Nabi Ibrahim AS (pertengahan September), Nabi Yusuf AS (pertengahan September) dan Nabi Sulaiman AS (Oktober). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya