AGAK lama tidak mendengar khabar pelakon berbakat besar ini. Menghubungi dan berpeluang menemu bual Soffi Jikan baru-baru ini, Pancaindera berkesempatan melayangkan beberapa pertanyaan yang sudah lama terbuku di hati.
Satu daripadanya adalah bagaimana dia meneruskan kelangsungan hidup setelah sebelum ini pernah mengumumkan sudah merajuk dengan industri seni hiburan.
Perkara itu pernah diutarakan oleh pelakon yang terkenal dengan tagline ‘kasi sengat’ ini sekitar tahun 2013. Malah, kerana kenyataan itu jugalah dia pernah menerima kecaman dan cacian.
Agak pelik apabila ramai berang dengan pengakuan itu. Sama ada marah kerana benci, atau marah kerana sayangkan bakat yang ada pada dirinya dan seharusnya perkataan berhenti berlakon bukanlah apa yang peminat mahu dengar keluar daripada mulutnya.
Tambahan pula, di sela waktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, terdengar juga perkhabaran bahawa Soffi jatuh sakit kerana terkena sihir ilmu hitam. Bertanyakan sendiri hal itu, aktor berusia 50 tahun ini berkongsi cerita.
Bagaimana Soffi meneruskan kelangsungan hidup sepanjang tempoh PKP?
Saat-saat sulit, orang macam saya sentiasa bersedia. Awak pun mesti terfikir, apa sumber pendapatan saya sedangkan sudah berhenti berlakon. Bermakna, saya ada banyak kerja. Macam-macam kerja saya buat, apa pun.
Daripada jual rumah, jual produk, rebiu barang, buat iklan. Saya sudah ada sasaran. Alhamdulillah, kebetulan awak hubungi ini pun saya baru sahaja melancarkan produk baru, iaitu minyak pelincir kenderaan di bawa jenama S.O.P Super Oil Power. Buat masa sekarang saya fokus pada perniagaan atas talian.
Insya-Alllah nanti akan buat aplikasi dan iklan pula. Saya usahakan ini bersama rakan kongsi dan ada pasukan yang menguruskan. Nama pun sempena nama saya sebenarnya. Senang dan mudah hendak ingat.
Setengah orang kata, berniaga jalan terbaik. Tapi macam Soffi, orang akan fikir betul-betul sudah mahu berhenti berlakon sebab itulah buat kerja lain. Komen?
Sebelum berlakon pun, saya sudah berniaga. Sejak kecil lagi, Kuala Lumpur ini pun saya yang bangunkan. Bukan nak cakap besar. Dulu, saya pernah buat kerja pembekalan kayu satu ibu kota ini. Banyak kawasan setinggan yang saya robohkan untuk buat pembangunan. Pasar malam dan berniaga di kaki lima pun saya pernah buat.
Pendek kata apa sahaja. Saya sanggup berhenti sebab benda macam inilah. Tak nak bergantung kepada satu mata pencarian yang tak boleh diharap. Betul, berlakon pun ada gaji. Tapi saya punya perjuangan nak royalti yang sama rata. Bukan untuk saya saja tapi semua.
Boleh Soffi jelaskan lanjut hal ini?
Contoh, saya main satu drama di saluran televisyen. Mereka tayang 2,000 kali pun, kita tak dapat royalti. Enam tahun, lima tahun ulang tayang cerita sama, orang macam saya dapat apa? Sebab itu, saya berani berhenti berlakon dan umumkan sebelum ini. Tak nak berlakon di Malaysia ini sebab sistem bangang. Tidak mengangkat orang yang benar-benar bagus.Tak akanlah Brad Pitt terima bayaran sama macam pelakon baru juga?
Umpamanya begitulah. Industri di sini begitulah. Memang ada bintang terkenal dibayar lebih. Tapi saya cakap ini meliputi keseluruhan secara umum.Sebab itulah saya berani berhenti. Secara rasmi tak aktif dan tak hadap pun. Pemikiran mereka masih mundur, tidak berkembang secara proaktif dan inovatif. Macamlah orang filem ini bodoh-bodoh dan bangang semuanya. Macam tak ada nilai.
Rasanya pekerja Bangladesh di negara ini pun lebih dapat hak di negara ini berbanding orang macam saya. Pernah saya ditegur oleh pekerja asing di sebuah tapak set penggambaran, dia ingat saya kaya dan boleh beli Ferrari sebab siang malam saya masih ada di set tak balik-balik sedangkan dua kali subuh dia jumpa saya di tempat yang sama. Bayangkan. Ferrari? Lambat lagi.
Merajuk benar dengarnya Soffi terhadap industri kita. Tak akanlah tak ada sekelumit perasaan nak berlakon semula?
Selagi mereka tidak berubah. Saya pun ada pengalaman dan pendedahan, jadi tak akanlah saya tak nak jalan? Tak akan nak tumpu satu pendapatan saja. Kalau apa-apa berlaku? Satu kisah, saya ada dapat tawaran hasilkan filem berjudul Jodoh Syaitan terbitan sebuah produksi Cina.
Saya buat seorang diri dalam perasaan kononnya nak kembali semula dan masa itu sebelum Covid.Sempat ditayangkan selama enam hari pada awal pandemik berlaku. Hari ketujuh kena banned.
Tapi, dalam masa enam hari itu kami berjaya raih kutipan RM1.5 juta tahu! Masa itu, filem Vin Diesel berjudul Bloodshot pun cuma mampu kutip sebanyak RM300,000 saja. Itu semua rekod. Pula itu, masa Covid -19 tahu! Tapi orang tak pernah angkat saya. Netizen kita pun maki-maki saya, tak hairanlah. Mereka ini tak pandai nak hargai orang. Tak apalah, saya anggap tak ada rezeki.
Bermakna Soffi memang berkeras mahu fokus pada bidang diceburi sekaranglah ?
Banyak kerja yang orang tak tahu saya buat. Jual rumah di bawah agensi Legenda Properties. Buat saluran sendiri di YouTube, aktif di Instagram. Dulu saya tak pandai sangat tapi kita belajarlah sebab tahu bila Covid-19 melanda, saya dapat rasakan ia akan jadi lama. Kena bersedia dari awal. Masa mula-mula pandemik berlaku, saya masih bergerak dan ada surat untuk buat kerja.
Saya manfaatkan setiap perkara yang mendatangkan hasil. Jalan saya tak senang. Baru nak naik, ada orang kacau. Rumah dah siap, ada orang bakar. Istana dah siap pun, ada orang runtuhkan.Tapi saya tak nak terus mengeluh. Teruskan berjalan dan mencuba bina semula satu persatu projek.Tapi kena rajinlah. Macam-macam telah saya lalui.
Maaf bertanya, betulkah semasa PKP juga Soffi dikhabarkan sakit dan dikatakan terkena sihir. Sejauh mana kebenarannya dan apa sebenarnya berlaku?
Ada kawan-kawan yang pandai tengok dan katakan saya terkena sihir. Saya pun mana tahu apa-apa. Bila dia tengok, dia kata saya terkena sihir. Mungkin tidaklah serius. Tak apalah saya pun tak nak cerita panjang. Cukup orang tahu, sekarang saya sihat dan Alhamdulillah. Kita tenang-tenang saja, nak takut apa, kita solat punya orang. Yakin dengan Dia sahaja.
Polisi saya dengan sesiapa sahaja mudah, saya buat tanggungjawab sendiri dan orang lain tak campur. Sekarang pun saya malas nak tegur kalau orang buat salah. Dulu, kalau awak tahu, semua masalah pun saya cuba nak selesaikan. Bila kita sendiri ada masalah, orang tak peduli.
Tak meraung atau minta tolong pun. Sehingga sekarang apa saja, saya hadapi sendiri.Naik turun mahkamah sebelum ini pun, 10 sen pun orang tak ada tolong. Tak ada hal, saya jalan sendiri.
Soal sihir dan ilmu hitam, tak akanlah tak serius Soffi?
Saya tak tahu siapa. Malas nak panjangkan cerita. Saya ini jenis malas nak fikir masalah lain sebab sendiri pun sudah ada masalah yang perlu saya atasi. Tak mahulah yang negatif. Sibuk dengan kerja. Kena beringat, ini zaman perang. Kita jaga diri sendirilah. Jangan duduk depan arus ikut orang, nanti datang air bah, kita pun hanyut.
Kepercayaan pada orang sekeliling macam mana pula? Sebab iyalah, Soffi susah pun tiada orang tolong sebelum ini?
Tak apa. Saya lalui macam-macam. Zaman susah, zaman gelap. Makan minum tak ada. Minum air masak saja pernah, makan nasi lemak saja pun pernah. Pagi, tengah hari, malam, makan nasi lemak sebungkus saja sampai muntah. Sebulan makan itu sahaja, muntah! Saya tahu diri bukan anak senang. Dari kecil sampai sekarang, Tuhan itu tak bagi saya senang sangatlah, santai sahaja.
Sebab itu ketika saya dilanda kontroversi sebelum ini, pendekatan mudah adalah bawa haluan sendiri. Tahu ada orang caci, maki, hina. Tapi apa yang orang buat tak pernah saya balas. Tak ada nak saman fitnah,saman malu atau apa-apa. Senang cerita, kalau orang baling tahi, saya kambus. Tak balas sebab ada banyak masalah lain yang lebih penting untuk difikirkan. Setakat masalah orang dengki, bikin panas, dah malas nak layan. Selagi ada tenaga ini, buatlah kerja bermanfaat.