TEMERLOH: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 139 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu menyaksikan mangsa, T. Vellasamygaenesan, 29, terperosok di bawah lori dan diseret kira-kira 10 meter.
Adik mangsa, T. Mathanaruban, 25, yang membonceng motosikal itu cedera parah dan dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk rawatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Roslee Omar berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Kilang Papan Batu 5 Mentakab ke kawasan Perindustrian Mentakab.
“Sampai di tempat kejadian, pemandu lori nampak motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan masuk ke laluannya dan cuba mengelak ke kiri jalan tetapi jarak terlalu hampir menyebabkan kedua-dua kenderaan bertembung.
“Kejadian mengakibatkan penunggang motosikal diseret kira-kira 10 meter dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng mengalami kecederaan parah,” katanya di sini hari ini.
Menurut Roslee, mayat mangsa dibawa ke Hoshas Temerloh untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih dijalankan. – UTUSAN ONLINE