KUALA LUMPUR: Pelakon jelita, Anzalna Nasir berkongsi penampilan baharunya dengan imej berhijab semalam.
Pelakon Memori Cinta Suraya itu berkongsi berita baik berkenaan di Instagramnya dengan memuat naik video rakaman memberi kejutan kepada suami, Hanif Zaki sempena hari lahirnya.
“Salam Jumaat. Semoga terus istiqomah. Selamat hari lahir cintaku @hanif_zaki,” coretnya ringkas.
Dalam video tersebut, Hanif yang menyambut hari lahir ke 33 tahun diberi kejutan hadiah yang tidak dijangka apabila melihat isterinya ayu berhijab di samping cahaya mata mereka.
Berkongsi dan memuat naik pada hari mulia Jumaat sebagai simbolik permulaan penghijrahannya, rata-rata peminat dan rakan selebriti melayangkan ucapan tahniah dan doa agar pelakon Dendam Aurora itu terus kekal dengan imej berhijab.
Sebagai informasi, pasangan Anzalna dan Hanif selamat berkahwin pada 2016 dan hasil perkongsian hidup dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Mohamed Eidrees yang kini berusia dua tahun.