PETALING JAYA: Penggiat seni tanah air kembali menarik nafas lega apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 1 bagi industri kreatif, semalam.
Pelawak yang juga Exco Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Johor, Shahrol Shiro menitipkan harapan agar khabar gembira tersebut dapat memberi manfaat buat semua penggiat industri seni kreatif di Malaysia.
Sehubungan itu, dia menzahirkan penghargaan buat Perdana Menteri dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa kerana mengambil inisiatif berkenaan untuk memberi industri tersebut kembali bernafas semula.
“Alhamdulillah, semoga sahabat-sahabat penggiat industri seni dan kreatif dapat manfaat dari pengumuman ini.
“Terima kasih Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan juga Tan Sri Annuar Musa yang begitu prihatin serta menyelesaikan masalah penggiat seni tanah air,” tulisnya di Instagram.
Selain itu, dia turut memberitahu perincian terhadap SOP baharu tersebut menerusi entri yang sama.
Mengulas lanjut, Shahrol menitipkan harapannya lagi agar semua pihak yang terlibat dapat kembali meneruskan kelangsungan hidup seperti sedia kala.
“Harapan saya adalah penggiat seni dan pekerja industri kreatif dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih baik.
“Sama-sama berdoa agar rezeki kita semua dipermudahkan oleh Allah,” katanya.
Kerajaan melonggarkan SOP Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi industri kreatif, bermula Khamis ini.