Kasihan Poklip dengar dakwaan yang disampaikan seorang rakan ini. Kisah sadis perihal seorang pelakon yang acap kali ditipu. Bukan ditipu buaya darat tau, tetapi rakan perniagaan yang manis mulut tetapi berbisa.
Dakwa si polan tadi, pelakon itu banyak kali sebenarnya cuba membuka perniagaan. Dari kosmetik, makanan dan macam-macam lagi. Tetapi semuanya tak jalan. Terhenti separuh jalan sahaja.
Pelik juga kan. Sebab Poklip pun ada perhati media sosial pelakon itu. Mula-mula promosi produk kosmetik, tiba-tiba lancarkan produk makanan. Poklip ingat buka cabang perniagaan lain, rupanya dikatakan ditipu rakan perniagaan.
Dakwa si polan itu lagi, sifat ‘tidak tahu apa-apa’ pelakon itu memudahkan ramai orang menipu dan mempergunakan dia untuk mengaut keuntungan atas angin. Rugi ratus ribu juga tau pelakon itu katanya.
Baru-baru ini, nampaknya pelakon itu melancarkan produk baharu. Harapnya perniagaan kali ini tidak terhenti separuh jalan. Carilah rakan perniagaan yang amanah dan tidak memanipulasi populariti pelakon itu untuk keuntungan peribadi.
Pelakon itu juga boleh mendapatkan nasihat pakar undang-undang bagi mengelakkan diri menjadi mangsa scammer lagi. Sekurang-kurangnya ada yang arif soal undang-undang untuk menasihatinya. Gitu!