PUTRAJAYA: Pembukaan institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi negeri Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka kekal pada 4 Oktober ini berdasarkan ketetapan pengoperasian bagi negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
KPM dalam kenyataan berkata, namun, ia hanya melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK), Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Katanya, ini termasuk murid Tingkatan 6 Semester 2, International Baccalaureate Diploma (IBD) Tahun 2, Program Prauniversiti Semester 3 di Sekolah Sukan Sukan Malaysia dan Murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBDP).
Bagaimanapun, KPM berkata, berdasarkan peralihan fasa negeri-negeri berkenaan ke Fasa 3 bermula esok, maka pengoperasian institusi pendidikan mengikut ketetapan fasa tersebut hanya akan bermula pada 18 Oktober ini.
“Ini melibatkan pertambahan kemasukan murid lain meliputi murid prasekolah, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, IBD, Prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia serta kelas peperiksaan antarabangsa yang lain,” katanya.
Dalam pada itu, KPM berkata, pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi negeri Kedah pula kekal pada 10 Oktober ini untuk murid kelas Tingkatan 6 Semester 2 dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level).
Jelasnya, memandangkan negeri itu akan beralih ke Fasa 2 esok, pengoperasian institusi pendidikan termasuk Kolej Vokasional berdasarkan ketetapan pengoperasian negeri Fasa 2 PPN hanya bermula pada 17 Oktober ini.
Selain itu, kata KPM, susulan pengumuman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berhubung peralihan Zon Selatan negeri Sarawak ke Fasa 3 juga berkuat kuasa esok, pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi zon ini kekal pada 4 Oktober berdasarkan ketetapan pengoperasian bagi negeri Fasa 2 PPN.
“Pengoperasian institusi pendidikan di Zon Selatan negeri Sarawak berdasarkan ketetapan negeri Fasa 3 PPN hanya akan bermula pada 18 Oktober ini,” katanya.
Sementara itu, merujuk pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Majlis Keselamatan Negara (MKN di beberapa kawasan, KPM juga ingin memaklumkan bahawa semua institusi pendidikan bawah KPM yang berada dalam kawasan PKPD adalah ditutup sepanjang tempoh PKPD berkuat kuasa.
Justeru, katanya, semua murid di kawasan yang terlibat perlu mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). – UTUSAN