CAMERON HIGHLANDS: Anak mangsa yang maut terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Sungai Palas di sini semalam mendakwa, mendengar bunyi dentuman kuat sebelum mendapati dirinya berada di atas jalan di luar rumah.
R. Kalaiarasi, 28, berkata, kejadian itu berlaku sekelip mata ketika dia berada di dalam bilik manakala kakak dan ibunya pula sedang tidur di bahagian ruang tamu.
“Ketika hampir terlena, saya terdengar bunyi dentuman kuat seperti guruh dan apabila buka sahaja mata, sedar-sedar saya sudah berada di atas jalan dengan sebahagian kaki ditimbus tanah.
“Saya tarik kaki yang tersangkut ditimpa barang sambil menangis dan menjerit memanggil emak, tetapi tiada sahutan sebaliknya kakak yang berada di bawah saya yang menyahut.
“Saya bantu kakak untuk bangun dan kami segera berlari keluar ke tempat yang selamat kerana runtuhan tanah masih berlaku,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, di sini semalam.
Menurut guru tadika itu, runtuhan tanah tersebut telah meranapkan hampir keseluruhan rumah keluarganya sekaligus menolak mereka hingga ke halaman rumah.
Katanya, kejadian berlaku ketika hujan lebat di mana hanya mereka bertiga sahaja di dalam rumah selepas bapanya keluar menyambung tugas sebagai pemandu teksi.
“Saya segera mencari bantuan dengan menahan sebuah kereta pelancong yang kebetulan melalui kawasan berhampiran untuk meminjam telefon bimbit dan menghubungi suami kakak.
“Seorang pekerja kebun warga Bangladesh yang menyedari kejadian itu juga berlari ke jalan utama untuk meminta pertolongan orang ramai,” katanya.
Kalaiarasi memberitahu, sebelum kejadian itu, hujan lebat sejak pukul 12.30 tengah hari dan mereka empat beranak juga sempat makan tengah hari bersama-sama.
“Seminggu dua ini memang hujan tetapi semalam paling lebat. Kami tidak sangka akan berlaku tanah runtuh sebab sejak 30 tahun mendiami rumah ini, kejadian tanah runtuh pertama kali berlaku,” katanya.
Tambah Kalaiarasi, akibat kejadian itu, dia cedera di kaki kiri manakala kakaknya berusia 29 tahun pula luka di kepala dan terpaksa menerima jahitan selain cedera di kaki dan bahu.
“Mayat emak sebenarnya tidak jauh pun dari tempat saya dan kakak tercampak, tetapi disebabkan hujan dan barang rumah berselerak menyebabkan kami tidak dapat mengesan dan mendengar jeritannya,” katanya.
Dalam kejadian sekitar pukul 3.30 petang itu, mangsa, K. Vijaya, 59, maut tertimbus runtuhan tanah dan mayatnya berjaya ditemukan pasukan penyelamat pada pukul 5.41 petang.
Hujan lebat selama dua jam sebelum kejadian dipercayai telah menyebabkan pergerakan tanah di bahagian atas hingga mengakibatkan sebahagian rumah roboh dihanyut air
Mangsa terperangkap dalam runtuhan tanah sedalam satu meter. – UTUSAN