GUA MUSANG: Vaksinasi terhadap golongan remaja Orang Asli di kawasan pedalaman perlu disegerakan sebagai persiapan untuk mereka mengharungi sesi persekolahan secara bersemuka mulai 3 Oktober ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pembukaan sekolah secara bersemuka ditunggu-tunggu oleh masyarakat Orang Asli.
Ini kerana, kata beliau, sepanjang sekolah ditutup, anak-anak mereka tercicir dalam pendidikan akibat berdepan akses internet kurang memuaskan untuk belajar secara dalam talian atau mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR)
“Kita mahu pemberian vaksin kepada remaja Orang Asli disegerakan dan kalau boleh biarlah sebelum sekolah dibuka. Kita yakin suntikan vaksin adalah penyelesaian terbaik bagi melindungi diri anak-anak ini,” katanya.
Beliau ditemui selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi Orang Asli yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Sapiah Mohd. Nor di Pos Gob, di sini hari ini.
Mengulas mengenai program vaksinasi, Abdul Rahman berkata, setakat ini pihak kementerian berpuas hati dengan sambutan Orang Asli di seluruh negara terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) .
Katanya, program vaksinasi berjalan lancar biarpun petugas kesihatan berdepan cabaran untuk masuk ke kawasan pedalaman manakala penerimaan masyarakat itu termasuk di pedalaman negeri ini amat menggalakkan.
“Setakat ini dianggarkan 57 peratus daripada 184,180 masyarakat Orang Asli di seluruh negara atau kira-kira 90,000 individu sudah menerima suntikan vaksin Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE