NEW YORK: Penyanyi R&B, Sarah Dash yang popular dengan lagu Lady Marmalade sekitar tahun 70-an meninggal dunia pada usia 76 tahun.
Lapor Sky News, berita kematiannya diumumkan rakan karib dan juga penyanyi, Patti LaBelle menerusi Twitter.
“Sabtu lalu kami berkongsi pentas dan itu adalah momen bermakna dan istimewa.
“Sarah Dash seorang yang cukup berbakat, cantik dan penyayang yang hadir dalam hidup saya dan ramai yang lain.
“Saya tahu saya boleh bergantung harap padanya. Itu lah Sarah, seorang sahabat setia dan suara untuk semua yang memerlukannya. Berehatlah kakakku, sayang kamu selalu!” tulisnya.
Punca kematian penyanyi berbakat itu bagaimanapun tidak dimaklumkan.
Mendiang mengecapi populariti bersama Patti ketika kedua penyanyi ini menganggotai kumpulan LaBelle sekitar tahun 70-an.
Mendiang kali terakhir menghiburkan ketika membuat kemunculan istimewa di konsert Patti di Caesars Atlantic City, dua hari lalu.