Sakura Malaysia bakal hiasi Tangga Putrajaya - Utusan Malaysia

Sakura Malaysia bakal hiasi Tangga Putrajaya

MUHAMMAD AZMI Mohd. Zain (dua dari kanan) meninjau keadaan projek Tangga Putrajaya di Taman Putra Perdana hari ini. – IHSAN PERBADANAN PUTRAJAYA 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Projek Tangga Putrajaya yang pembinaannya berbaki 20 peratus lagi, kini memasuki peringkat penanaman puluhan pokok tekoma atau turut dikenali Sakura Malaysia.

Menurut Perbadanan Putrajaya (PPj), pohon tersebut atau nama saintifiknya, Tabebuia rosea, bakal menjadi landskap utama kawasan tangga yang berkeluasan 4,995 meter persegi itu.

“Alhamdulillah, projek ini siap 80 peratus dan bakal menjadi antara produk pelancongan serta rekreasi terbaharu Putrajaya,” kata agensi itu menerusi hantaran dalam akaun sosialnya.

Dibina atas tanah berkeluasan 0.5 hektar, Tangga Putrajaya memudahkan para pelawat yang berjalan kaki dari bulatan Dataran Putra ke Mercu Tanda Putrajaya di Taman Putra Perdana.

Bagi tujuan keselamatan, laluan seumpama paksi lurus itu berketinggian 30 meter itu dibina tidak curam dengan mempunyai 248 anak tangga selebar tiga meter dan panjang 200 meter yang turut dilengkapi empat plaza dan 14 tapak hentian rehat selain 46 tiang lampu taman.

Sebanyak lapan jenis pokok renek berwarna-warni turut dijadikan hiasan di kawasan tengah tangga itu selaras dengan konsep taman untuk memberi panorama hijau yang hidup segar.

Pohon tekoma yang akan ditanam di sisi kiri dan kanan laluan tersebut, secara kelazimannya berbunga warna merah jambu ketika cuaca panas terik sekitar Mac dan April setiap tahun dan spesies ini turut digelarkan sebagai pokok bunga kertas tisu atau cherry blossom, merupakan pohon jenis teduhan serta berasal dari rantau Amerika Tengah dan Amerika Selatan.

Keindahan bunga Sakura Malaysia itu menyaksikan pemandangan seumpama berada di Jepun selain turut menjadi pokok pilihan utama kebanyakan pihak berkuasa tempatan di negara ini termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kedah.

Tangga Putrajaya yang berdasarkan beberapa tangga ikonik terkenal di pelbagai negara, merupakan kedua dibina di Wilayah Persekutuan ketiga itu selepas Tangga Alamanda. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya