BANDAR BARU BANGI: Sebuah syarikat pembuatan acuan plastik didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan gagal memberikan latihan kepada pekerja sehingga menyebabkan kematiannya ketika sedang bertugas.
Hakim Effandi Nazila Abdullah mendenda Ryoka (Malaysia) Sdn. Bhd. selepas Pengurus Sumber Manusia syarikat itu, S. Letchumi Kaanthan selaku Orang Kena Saman (OKS) hadir bagi pihak syarikat dan mengaku bersalah atas pertuduhan.
Sekiranya syarikat gagal membayar denda tersebut wakilnya boleh dipenjara selama enam bulan. Denda itu kemudian dijelaskan.
Mengikut pertuduhan, selaku majikan, syarikat itu didakwa gagal memastikan setakat yang praktik aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya, Azman Abdullah, 29, semasa bertugas.
Syarikat itu didakwa gagal mengadakan latihan bagi kerja-kerja di bahagian Proses Injection Moulding (acuan suntikan) sehingga menyebabkan kemalangan maut.
Kesalahan itu dilakukan di syarikat tersebut yang beralamat di Lot 9, Jalan P/1, Bangi Industrial Estate, Seksyen 13 di sini pukul 11.45 pagi pada 5 November 2019.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(2)(c) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 19 akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, peguam R. Maran yang mewakili syarikat itu dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan syarikat tersebut mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
“Sejak lebih 30 tahun beroperasi, ini kali pertama kejadian (kematian) berlaku. Malah pada prosiding hari ini pengarah urusan syarikat tersebut hadir ke mahkamah untuk mendengar sendiri prosiding kes selain segala pampasan telah diselesaikan kepada keluarga mangsa selepas kejadian tersebut,” kata peguam itu.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Selangor (JKKP Selangor), Idris Abdul Rahman memohon hukuman setimpal atas alasan kejadian melibatkan keselamatan pekerja.
Ujarnya, syarikat itu gagal memberikan latihan sepatutnya sehingga menyebabkan kemalangan maut.
Beliau memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada majikan lain agar tidak mengambil mudah aspek keselamatan pekerja pada masa akan datang, – UTUSAN ONLINE