Rumah ranap ditimpa pokok kelapa akibat ribut - Utusan Malaysia

Rumah ranap ditimpa pokok kelapa akibat ribut

KEADAAN rumah Rahiah Zakaria yang rosak dihempap pokok kelapa dalam kejadian ribut di  Kampung Pasir Panjang Laut di Lumut semalam. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT:  “Saya terkejut  mendengar bunyi angin menderu kuat sebelum dentuman disusuli tangisan cucu lelaki yang berusia sembilan tahun.

“Bimbang keselamatan cucu, saya terus keluar bilik dan melihat ruang tengah rumah sudah roboh ditimpa pokok kelapa yang tumbang,” kata Rahiah Zakaria, 74, ketika menceritakan detik cemas kejadian ribut yang melanda daerah Manjung , dekat sini malam tadi.

Rahiah melihat anaknya, Rokiah Yunus, 38, merangkak di bawah timbunan barangan dan alang bumbung rumah yang runtuh untuk mencarinya dan memastikan dia selamat.

Dia bersyukur kerana tiada siapa yang cedera dalam kejadian itu walaupun bahu kiri Rokiah tercalar selepas terkena alang bumbung rumah yang terjatuh.

Ketika kejadian, Rokiah berada di ruang tamu memantau anaknya, Mohamad Amir Mohamad Nizar, 9, menyiapkan tugasan sekolah.

“Mungkin kerana terkejut, cucu saya menangis sambil menjerit ‘Amir takut mati’, jadi saya membawanya keluar rumah walaupun dalam keadaan hujan dan gelap bagi menenangkannya.

“Tubuhnya menggeletar dan saya memberinya minum bagi menenangkannya,” katanya  ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Pasir Panjang Laut, Sitiawan, hari ini.

Sementara itu, Mohd. Akhir Nuruddin, 68, yang tinggal di Fasa 3A Seri Manjung, pula berkata, angin mulai bertiup kencang kira-kira pukul 7 malam memaksa dia bersama enam jiran lain memegang tiang besi yang menampung bumbung zink depan rumah teresnya, bagi mengelak bumbung tambahan itu daripada tercabut.

“Ketika berada di luar rumah dan sangka dalam rumah tiada masalah, rupa-rupanya dalam rumah lagi teruk apabila air hujan masuk sehingga sebuah bilik banjir dan tilam basah lenjun,” katanya.

Jelasnya, apabila diperiksa selepas keadaan mulai reda, didapati 24 rabung atau penutup bumbung rumah tercabut, sembilan siling dan lapan atap rumahnya rosak mengakibatkan kerugian kira-kira RM1,000.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor, berkata setakat pukul 10 pagi tadi, hampir 70 rumah di daerah Manjung dilaporkan rosak akibat kejadian ribut kira- kira 30 minit itu. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN