Roziah wanita pertama dilantik Naib Canselor UiTM - Utusan Malaysia

Roziah wanita pertama dilantik Naib Canselor UiTM

NORAINI Ahmad (dua kiri) menyerahkan surat pelantikan rasmi kepada Roziah Mohd. Janor hari ini. - IHSAN KPT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Prof. Dr. Roziah Mohd. Janor dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) baharu sekali gus menjadi wanita pertama menyandang jawatan berkenaan.

Pelantikan tersebut diumum Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad menerusi Facebook yang memaklumkan, surat pelantikan itu telah diserahkan beliau kepada Roziah.

Menurutnya, Roziah, 58, berkelayakan Ijazah Sarjana Muda Matematik dari The State University of New York @ New Paltz New York, Amerika Syarikat (AS) serta Ijazah Sarjana dalam bidang sama dari West Virginia University, AS.

Beliau seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Faksafah dalam bidang Statistik pada tahun 2003 dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Beliau telah menggerakkan 22 inisiatif Globally Reknowned University 2025 seperti penggabungan fakulti menjadi Kolej Pengajian 10 bidang, Education 5.0@UiTM dan Global Learning.

“Selain itu, beliau turut menganggotai badan profesional Malaysia Board of Technologist (MBOT) dan pernah menerima pelbagai anugerah seperti Staff Excellence Award UiTM pada tahun 2017, 2013, 2009, 2008 dan 2002,” katanya.

Katanya, Roziah pernah memenangi Researcher of the Year UiTM 2007, Bronze Medal for GPP Modified Socio Mobility Index: Quantifying Actual Development Impact dari Persatuan Penyelidikan Sains Malaysia (MARS) dan lain-lain.

Dalam pada itu, Noraini berkata, dengan visi menjadikan UiTM sebagai sebuah universiti mega seterusnya memberi peluang luas kepada Bumiputera memperbaiki taraf hidup melalui pendidikan tinggi dalam semua bidang, beliau percaya Roziah mampu menggalas tanggungjawab dan meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan UiTM.

“Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Profesor Emeritus Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim atas jasa bakti beliau menerajui UiTM selama lebih dua tahun sejak tahun 2019,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya