MANCHESTER: Cristiano Ronaldo melakukan kepulangan cukup sempurna bersama Manchester United di hadapan 76,000 penonton apabila menjaringkan dua gol selepas 12 tahun meninggalkan Old Trafford.
Biarpun berusia 36 tahun, namun aksi dipamerkan Ronaldo jelas membuktikan dia sememangnya layak memegang status pemain terbaik dunia.
“Saya tidak jangkakan untuk meledak dua gol. Saya fikir mungkin satu sahaja dan bukan dua. Saya perlu menghargai penyokong setelah apa dilakukan mereka kepada saya hari ini.
“Saya rasa sangat bangga apabila dapat melakukannya. Sudah tentu saya gembira menjaringkan gol, saya tidak menafikannya. Tetapi perkara paling penting adalah pasukan dan mereka bermain bagus.
“Ia sukar dipercayai. Ketika saya memulakan perlawanan saya sangat gementar, saya bersumpah. Saya tidak menjangkakan mereka akan menyanyikan nama saya sepanjang perlawanan.
“Saya sangat gementar, mungkin saya tidak menunjukkannya, tetapi ia benar. Sambutan menakjubkan tetapi saya di sini untuk menang dan membantu pasukan,” katanya kepada BBC Sport.
Sementara itu, pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer yang pernah bergandingan dengan Ronaldo dari tahun 2003 hingga 2009 bersama skuad Red Devils, cukup lega dengan persembahan pemain itu ketika membenam Newcastle United 4-1.
“Ini adalah kehebatan Cristiano dan adalah hari untuk dinikmati semua orang,” ujarnya.
Dalam perlawanan itu, penyokong tuan rumah disajikan dengan 21 percubaan termasuk enam daripada Ronaldo, selain menyaksikan Red Devils melakukan serangan bertali arus ke atas lawan.- AGENSI