LONDON: Cristiano Ronaldo dan keluarganya akan mendapat ‘layanan istimewa’ dengan perlindungan keselamatan 24 jam di kediamannya susulan kepulangan sensasinya ke Mancehster United.
Pemain berusia 36 tahun tersebut dijangka membuat kemunculan semula di Old Trafford menentang Newcastle Sabtu ini selepas berhijrah ke Real Madrid 12 tahun lalu dengan rekod perpindahan dunia ketika itu.
“Cristiano telah diberikan amaran oleh mereka yang tidak bertanggungjawab sejak meninggalkan Manchester pada 2009. Wilayah ini menjadi sasaran sekumpulan jenayah.
“Kini, Cristiano dilihat mampu menjadi sasaran utama kepada mereka. Lebih buruk, kumpulan jenayah ini semakin mengganas.
“Mereka menggeledah dan membuat keganasan di kediaman pemain. Sasaran kumpulan terbabit adalah harta benda apabila mendapati pemain tiada di rumah. Mereka turut memantau kediaman sasaran berminggu-minggu sebelum memecah masuk.
“Jadi, sebelum Cristiano tiba di sini, kami akan memastikan dia dan keluarganya akan diberi perlindungan keselamatan yang ketat,” kata sumber kepada The Mirror.
Ronaldo dan pasangannya berkata, mereka akan menetap di rumah sewa yang telah diatur oleh kelab tersebut selepas kapten Portugal itu kembali semula ke England dengan nilai 12.86 juta pound (RM73.84 juta) dari Juventus.