KUALA LUMPUR: Sebanyak RM314.05 juta telah dibelanjakan untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat 30 Ogos 2021, setelah diperuntukkan RM1 bilion sebelum ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, perbelanjaan tersebut meliputi beberapa pecahan kategori seperti kos pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Kos pengoperasian PPV merangkumi perbelanjaan bagi sewaan dan utiliti, perbelanjaan bagi pembersihan dan sanitasi, perbelanjaan bagi perkakasan dan peralatan pakai habis dan perbelanjaan kebajikan petugas di PPV.
“Kerajaan juga mempertimbangkan dua perkara penting iaitu saguhati sukarelawan dan anggota keselamatan yang bertugas di PPV serta belanja makan minum petugas,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Kata Adham, perbelanjaan turut dibuat bagi memantapkan rangkaian integrasi data dan sistem untuk proses pemberian vaksin melalui PICK.
“Bagi meningkatkan jumlah pendaftaran rakyat untuk menerima vaksin di setiap kawasan Parlimen, kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM4.4 juta peruntukan untuk itu yang mana selaras dengan prinsip whole of society untuk menjayakan progam PICK.
“Terima kasih kepada semua ahli Parlimen yang telah membantu dalam pelaksanaan PICK di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) mengenai kos program vaksinasi. – UTUSAN