ResQ Team UPSI bantu mangsa banjir Sungai Siput

ResQ Team UPSI bantu mangsa banjir Sungai Siput

RESQ Team UPSI membersihkan karpet masjid di Pulai Kamiri yang dilanda banjir kilat di Sungai Siput kelmarin. - FOTO/IHSAN UPSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: ResQ Team Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyerahkan sumbangan makanan serta membantu membersihkan rumah penduduk di mukim Pulai Kamiri dekat sini yang ditenggelami air akibat banjir kilat kelmarin.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, tindakan itu dilakukan sebagai rasa prihatin terhadap nasib yang menimpa penduduk di kawasan sekitar Felda Lasah dan Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Tok Sirat di mukim tersebut.

“Usaha murni ini selaras dengan agenda memartabatkan UPSI sebagai universiti ternama di Malaysia dan antarabangsa serta memperkukuh keinsanan warga UPSI yang sentiasa menyumbang keringat dan tenaga demi keharmonian dan kemakmuran Keluarga Malaysia tercinta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin berkata, misi bantuan banjir selama dua hari itu dilaksanakan bersama-sama 27 ahli ResQ Team yang membabitkan pensyarah, kakitangan dan ahli Resq Team Siswa UPSI. 

“Selain menyampaikan sumbangan dan mencuci rumah mangsa , kami juga mencuci karpet masjid yang terkena air banjir, “ katanya.  

Menurut beliau, Bahagian Pengangkutan UPSI menyediakan empat kenderaan pacuan empat roda, sebuah lori dan sebuah bas untuk membawa sukarelawan dan peralatan dalam misi bantuan banjir itu. 

Dr. Norkhalid yang juga Ketua Projek EmpowerNCER Akademik @ Perak memberitahu sebanyak 50 pek barangan keperluan asas dan makanan kering sumbangan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) turut diserahkan kepada mangsa banjir. 

Pihak UPSI, katanya, terlibat dengan Program EmpowerNCER Akademik @ Perak di tiga buah sekolah di daerah tersebut iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong, SMK Toh Muda Abdul Aziz serta SMK RLKT Lasah yang melibatkan 200 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021. 

“Apa yang menyedihkan ialah seramai 10 pelajar peserta program ini telah menjadi mangsa banjir dan rumah mereka ditenggelami air di Felda Lasah,” katanya. 

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Kuala Kangsar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Kangsar, Zulhisham Ahmad Shukori, berkata, dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa-magsa banjir iaitu Dewan Orang Ramai RPT Tok Sirat seramai 83 orang melibatkan 14 keluarga manakala Dewan SMK RLKT Lasah menempatkan lapan keluarga sejak kelmarin. 

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Sungai Siput,  Mohammad Suffian Zakaria dan Pengetua SMK RLKT Lasah, Nazri Zainun pada majlis penyerahan sumbangan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya