KUALA LUMPUR : Selepas Zul Ariffin, giliran pelakon hebat Remy Ishak pula membuat kejutan untuk menarik diri daripada pencalonan Anugerah Bintang Popular ke-34.
Pengumuman itu dibuat oleh pelakon berusia 39 tahun itu menerusi akaun Instagram di Instagram Story (IGS) hari ini.
Remy memberi alasan menarik diri kerana mahu memberi laluan kepada mereka yang lebih layak untuk bertanding dalam majlis anugerah terkemuka tersebut.
“Assalamualaikum semua. Saya telah maklumkan kepada pihak penganjur untuk tidak dicalonkan dalam mana-mana kategori Anugerah Bintang Popular ke-34 (ABP34).
“Memandangkan tahun lalu produk filem atau drama yang saya lakonkan kurang, saya berpendapat, peluang ini harus diberikan kepada mereka yang layak untuk bertanding.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak penganjur dan peminat yang selama ini menyokong saya,”katanya.
Menerusi hantaran tersebut, Remy juga menanda nama kelab peminatnya @remy.army untuk tujuan pemberitahuan tersebut.
Sebelum ini, Zul Ariffin membuat kenyataan yang sama dan memberi alasan mahu fokus kepada bidang seni selain melunaskan kerja-kerja tertangguh berkaitan kerjaya lakonannya.