PARIT: Semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atau sekolah di Perak tidak lagi menerima remaja sekolah yang datang secara daftar terus atau walk in untuk menerima vaksin bagi mengelak kesesakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, sebaliknya pemberian vaksin kepada golongan itu dilaksanakan melalui janji temu yang ditetapkan menerusi aplikasi MySejahtera atau portal Vaksin Anakku.
Katanya, pelajar yang telah mendaftar akan diminta hadir ke lokasi vaksinasi mengikut masa dan tarikh yang ditetapkan di dalam aplikasi atau portal tersebut.
“Kita ada menerima maklumat daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang mana bermula hari ini program Vaksin Anakku ini untuk walk in ditutup.
“Jadi semua yang hadir ke sekolah atau PPV yang telah ditetapkan untuk menerima suntikan vaksin adalah pelajar-pelajar yang telah mengisi MySejahtera atau portal Vaksin Anakku,” katanya selepas meninjau pelaksanaan program Vaksin Anakku di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Azlan Shah, Seri Iskandar, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE