SATU ketika, rancangan atau program berbentuk pencarian bakat atau ratu cantik dikira sangat membantu industri seni hiburan dalam mencari gali mana-mana individu berpotensi yang boleh digilap menjadi pelapis anak seni tanah air.
Itu jika kita bercakap dengan mengambil kira latar belakang era tahun 80-an atau 90- an misalnya.
Pada waktu tersebut, belum terwujudnya lagi platform media sosial yang kini menjadi medium utama dan pilihan pengguna setiap hari. Maka, ketika itu ramai yang akan memfokus kepada pertandingan seperti itu dalam misi bergelar pelakon, penyanyi mahu pun peragawati.
Bukanlah mahu mengkritik mana-mana penganjuran pertandingan pada waktu ini, cuma, wajar dilayangkan pertanyaan sama ada masih relevankah program seperti itu diadakan pada era kini?
Adakah ia semata-mata dianggap sebagai satu acara sendal dalam industri atau fokusnya benar-benar dalam mencapai hasrat mahu mencari bakat-bakat baharu yang berkualiti dan berpotensi dalam industri kreatif ini?
Pendek kata, apa sebenarnya yang dicari menerusi pencarian bintang seperti ini? Berikut ialah pandangan beberapa artis tempatan berhubung isu ini.
Bijak susun langkah- Esma Danial
Program mencungkil bakat baharu ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Daftar saja pada mana-mana platform sama ada mahu menjadi penyanyi atau pun pelakon, mudah.
Persoalannya, masihkah program seumpama itu relevan hari ini? Bagi Esma Danial, program berkenaan bergantung kepada penerimaan khalayak.
“Jika program sedia ada masih diterima baik oleh audiens dan mempunyai jenama kuat, baguslah untuk pendedahan awal seseorang pelapis itu.
“Contoh kalau mahu jadi pelakon, pengarah atau produser akan nampak. Bahkan, penaja pun akan datang dengan sendiri menawarkan projek kolaborasi,” katanya.
Esma yang masih diterima baik di pasaran lakonan walau sudah tiga dekad bergelar anak seni turut berpesan, apa yang penting adalah hubungan bersama peminat dan media dalam mencorak kanvas seni.
“Selepas menang, apa seterusnya? Sebagai pelapis baharu, perlu ada inisiatif sendiri untuk berikan semula kepada masyarakat atau peminat. Apa yang mereka suka?
“Ceburkan juga diri dalam mana-mana aktiviti selain lakonan sebagai strategi tambahan tarik peminat baharu untuk kenali diri. Tetapi kena ada kesinambungan, jangan buat sekali saja.
“Selain itu, hubungan bersama pengamal media penting untuk pasaran diri. Sebab kita akan berkongsi perihal karier dan lain-lain lagi, untuk peminat kita juga,” tuturnya.
Elemen yang digunakan tidak lagi memberi kesan – Datuk Aznil Nawawi
Pengacara dan usahawan terkenal, Datuk Aznil Nawawi menyifatkan pencarian bakat menerusi program realiti sudah tidak relevan.
Aznil yang sebelum ini sinonim mengacarakan program pencarian bakat seperti Akademi Fantasia (AF) merasakan elemen yang ditampilkan dalam program seperti itu kurang memberi impak kepada penonton.
“Penonton sekarang sudah mampu membaca selok-belok satu-satu program realiti itu. Bagi saya, elemen yang digunakan tidak lagi memberi kesan.
“Semua yang dipaparkan termasuk tangisan dan drama yang diselitkan adalah perkara dirancang yang boleh dihidu lebih awal. Jadi saya rasa program sebegini tidak relevan lagi dan sukar mencetuskan fenomena,” katanya.
Bagi Aznil yang mesra disapa Pak Nil, dia lebih tertarik dan seronok menonton program-program yang diterbitkan menerusi platform dalam talian seperti Youtube yang baginya lebih jujur dan spontan.
“Contoh seperti drama spontan Syahmi Syazli yang saya anggap lebih realistik. Walaupun spontan, tetapi penceritaannya yang memaparkan kesungguhan Yeo Parey dan Asif untuk menjadi pelakon saya sifatkan lebih spontan, bersahaja dan menarik,” tambahnya.
Tidak relevan? Mungkin juga – Haneesya Hanee
Pernah menyertai pertandingan pencarian bakat, Dewi Remaja 2018/2019, Sharifah Haneesya Sayed Sahalan berpendirian bahawa keadaan semasa barangkali dilihat tidak begitu sesuai untuk sesebuah pertandingan pencarian bakat dilaksanakan.
Bagi Haneesya, kebergantungan pengguna era kini sangat tinggi terhadap platform media sosial dan ia juga menjadi faktor utama mengapa banyak bakat muda dan baharu lebih mudah digali menerusi medium tersebut.
“Sekarang kita sendiri nampak, ramai pempengaruh media sosial juga sudah mula ditawarkan menjadi pelakon dan sebagainya masuk ke dalam industri seni arus perdana. Kalau kita pandai tingkatkan profil kerjaya dalam media sosial, orang akan mula panggil, itu tak mustahil.
“Kalau sebut pasal penganjuran program pertandingan pencarian bakat, bagi saya seakan tidak relevan pada waktu ini apa lagi pandemik Covid-19 ini pun masih belum berkesudahan,”katanya.
Pun begitu, pelakon drama Curi-Curi Cinta dan Tirai Keinsafan ini tidak menolak seandainya program seperti itu dapat dijalankan dengan mengutamakan keselamatan peserta bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang tentunya tidak diingini.
“Kalau pihak penganjur ada cara terbaik untuk tetap menjalankan pertandingan seperti itu pada waktu ini, saya rasa mungkin tiada masalah. Mungkin boleh buat pemilihan menerusi aplikasi tertentu misalnya.
“Saya pun faham, ramai orang muda di luar sana yang sebenarnya tidak tahu cara tepat atau platform betul untuk merealisasikan impian mereka dalam bidang seni.
“Ada antara yang mereka yang punya bakat hebat tapi tak ada saluran betul untuk tujuan itu, “ katanya.
“Setakat jadi muka depan majalah sahaja, sampai bila?”– Ridzuan Hashim
Pelakon berkaliber, Ridzuan Hashim mengenai rancangan realiti Hero Remaja kali ini, dia berpendapat program tersebut tidak lagi relevan pada masa ini.
Ini kerana, pelakon filem KL Gangster 2 itu berpendapat rancangan sedemikian perlu diperincikan serta terarah kepada satu bakat sahaja seperti lakonan dan peragaan.
Malah, jelasnya juga seorang individu yang ingin tampil berlakon dan wajahnya ditayangkan di layar skrin, seharusnya menghadiri kelas lakonan terlebih dahulu.
“Nak mencungkil bakat mereka ini untuk apa? Sebagai model atau pelakon? Jadi, jika memasuki pertandingan sebegitu hanya setakat menjadi perhiasan majalah, untuk mengetengahkan dia sebagai pelakon atau model tidak kena.
“Seharusnya, mereka perlu menghadiri kelas lakonan. Malah, perlu adanya satu rancangan realiti khas untuk mencungkil bakat lakonan mereka. Jadi setakat figuranya menjadi muka depan majalah sahaja, sampai bila dan jauh mana dia boleh ketengahkan bakat sebagai pelakon.
“Maka, perlu ada rancangan realiti yang tidak bercampur serta mengutamakan hanya satu bakat sahaja. Jadi, dari situlah kita boleh menilai dan mencungkil bakat mereka,” tuturnya.
Mengulas lanjut, Ridzuan tidak menafikan kadang kala tidak mengenali wajah-wajah baharu yang mewarnai industri seni tanah air kerana kebanyakan mereka diambil atas tiket popular di media sosial.
“Saya pun kadang kala menonton televisyen, tidak kenal wajah baharu ini kerana mereka diambil menerusi media sosial sahaja. Jadi, mereka ini tidak melalui proses yang sebenar sebagai pelakon.
“Nama pun Hero Remaja, bukan hero majalah. Jadi, pihak tersebut perlu menjadikan mereka ini hero pelakon dalam drama dan filem, itulah konsepnya yang sebenar.
“Malah, perlu juga biasakan mereka dengan uji bakat, biar tahu tahap diri mereka di mana. Jika tidak, mereka rasa sudah bagus dalam lakonan. Selepas itu, berlakon jadi hero, gagal. Mana tidaknya, tidak pergi dahulu kelas lakonan,” ujarnya panjang.