PETALING JAYA: Rayuan universiti awam (UA) dijangka dibuka selepas 11 hari hebahan semakan keputusan kemasukan ke UA sesi 2021/2022 yang diumumkan Rabu lalu.
Memetik laporan Bernama, Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Jabatan Pendidikan Tinggi, Wahi Nordin berkata, pemohon yang tidak berjaya mendapat tempat boleh mengemukakan rayuan menerusi Sistem Permohonan Kemasukan Pelajar (UPUOnline).
“Pemohon hanya boleh mengemukakan empat pilihan rayuan dan program bertemu duga atau ujian hanya untuk pilihan satu dan dua. Calon yang gagal sahaja akan mendapat menu rayuan dan bagi yang berjaya tidak dibenarkan tukar ke pilihan pertama.
“Saya juga mahu ingatkan kepada calon, permohonan kali ini agak sengit. Ramai yang dapat keputusan cemerlang peringkat STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia), asasi dan matrikulasi tidak mendapat tempat, berdasarkan pilihan program yang sengit persaingan,” katanya ketika menjadi tetamu program Buletin Bernama hari ini.
Menurut Wahi, pelajar masih memiliki peluang mendapat tempat menerusi rayuan, namun dinasihatkan untuk tidak memilih semula 12 pilihan kursus yang dimohon sebelum ini memandangkan program itu mungkin sudah penuh.
“Jadi calon-calon boleh memilih program yang bersesuaian dengan keputusan dalam empat pilihan rayuan itu.
Tambah beliau, calon yang ingin membuat permohonan baharu atau terlepas boleh mengambil maklum permohonan yang dibuka oleh UA seperti Universiti Teknologi Mara dan Universiti Pendidikan Sultan Idris yang membuka permohonan pada semester kedua pada Mac 2022.
“Jadi calon-calon boleh melayari permohonan kemasukan semester kedua, bukan ambilan kedua, boleh buat permohonan terus kepada universiti berkenaan. Peluang di situ lebih cerah dengan keputusan yang ada,” katanya.
Jelas beliau, keputusan rayuan itu akan diumumkan pada akhir Oktober selepas kumpulan pertama mendaftar masuk ke universiti mulai 15 Oktober depan.
“Tawaran yang diberikan muktamad dan pemohon tidak dibenarkan untuk membuat pertukaran program atau universiti.
“Kami membuat pilihan berdasarkan susunan merit. Kalau calon tidak berjaya pilihan pertama, tetapi berjaya mendapat pilihan kelima, maknanya markah merit dia tidak mencukupi untuk pilihan pertama,” katanya.
Semakan keputusan boleh didapati menerusi lima pautan antaranya https://jpt.utm.my; http://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; http://jpt.ums.edu.my; dan http://jpt.umt.edu.my. – UTUSAN ONLINE