PUTRAJAYA: Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkesempatan mengadakan dua sesi libat urus secara dalam talian dengan hampir 100 orang murid Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2021 dari seluruh negara.
Beliau berkata, sesi berkenaan melibatkan wakil pelajar sekolah menengah kebangsaan manakala sesi kedua khusus untuk murid berkeperluan khas (MBK).
Dalam perbincangan bersama itu, Mohd. Radzi berkata, mereka begitu teruja berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapi dalam tempoh mencabar ini.
“Ini termasuk persiapan mereka untuk menghadapi peperiksaan SPM yang dijadualkan pada Mac tahun hadapan.
“Tak kurang juga yang memberikan pelbagai pandangan dan cadangan bagaimana untuk menambah baik pendekatan pengajaran dan pembelajaran sedia ada,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Mohd. Radzi berkata, beliau begitu tersentuh dengan perkongsian anak-anak MBK yang tidak pernah jemu untuk mengikuti pembelajaran walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.
Katanya, kumpulan pelajar ini amat berharap agar dapat kembali ke sekolah dan mengikuti pembelajaran secara bersemuka dengan selamat.
“Saya amat hargai semua perkongsian dan cadangan yang diberikan. Insya-Allah, cadangan tersebut kami akan teliti dan perhalusi.
“Semoga semua anak-anak yang bakal menduduki SPM tahun 2021 terus bersemangat untuk membuat persediaan sebaiknya,” katanya. – UTUSAN