Rabu ini  keputusan kes SUV terjunam Jambatan Pulau Pinang  - Utusan Malaysia

Rabu ini  keputusan kes SUV terjunam Jambatan Pulau Pinang 

M. Vaitheswaran ketika hadir ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini bersabit perbicaraan kes kenderaan SUV menjunam dari Jambatan Pulau Pinang dua tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Mahkamah Majistret di sini hari ini,  menetapkan Rabu ini untuk memutuskan sama ada seorang pemuda, M. Vaitheswaran, 23, perlu membela diri bagi pertuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar kolej dengan memandu secara melulu di Jambatan Pulau Pinang, dua tahun lalu.

Hakim yang bertindak sebagai Majistret, Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin membuat ketetapan itu selepas peguam Vaitheswaran, K. Paramanathan memberitahu mahkamah pihaknya hanya menerima hujahan bertulis daripada pihak pendakwaan semalam dan tidak sempat membalasnya.

Menurut Paramanathan, pihaknya meminta mahkamah sedikit masa untuk meneliti sebelum membalas hujahan bertulis tersebut.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan hari ini sebagai hari keputusan akhir kes pendakwaan.

Sepanjang perbicaraan, sebanyak 12 saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan berhubung kes tersebut.

Vaitheswaran didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, Moey Yun Peng, selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu Yun Peng di Jambatan Pulau Pinang terhumban ke dalam laut pada 20 Januari 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 dan boleh hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih tiga tahun daripada sabitan.

Dalam kejadian kira-kira pukul  2.50 pagi itu, Vaitheswaran yang dikatakan memandu sebuah kereta jenis Toyota Vios telah berlanggar dengan SUV yang dipandu Moey di atas jambatan berkenaan sehingga SUV itu hilang kawalan dan terjunam ke dalam laut di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang menghala Perai. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya