Pulau Pinang negeri ke-7 lulus usia 18 tahun calon ADUN  - Utusan Malaysia

Pulau Pinang negeri ke-7 lulus usia 18 tahun calon ADUN 

SIDANG DUN Pulau Pinang meluluskan penggubalan undang-undang Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2021 bagi penurunan had usia calon ADUN daripada 21 tahun ke 18 tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pulau Pinang menjadi negeri ketujuh yang membenarkan belia berusia 18 tahun bertanding sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada pilihan raya umum akan datang.

Keputusan itu selepas persidangan DUN hari ini sebulat suara meluluskan penggubalan undang-undang Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2021 bagi penurunan had usia calon ADUN daripada 21 tahun ke 18 tahun.

Rang undang-undang yang dikemukakan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee itu diluluskan selepas dibahaskan oleh enam ADUN masing-masing empat dari blok kerajaan dan dua pembangkang.

Dengan keputusan itu, Pulau Pinang kini mengikuti enam negeri lain yang sudah meminda perlembagaan negeri masing-masing bagi tujuan sama iaitu Sabah (Disember 2019); Perlis (Mei 2020); Terengganu (Ogos 2020); Sarawak (November 2020); Kelantan (Disember 2020) dan Perak pada Julai lalu.

Lip Chee (DAP-Bagan Jermal) berkata, perkembangan sosial dan demokrasi di seluruh dunia ketika ini turut mendorong golongan belia Pulau Pinang untuk diberi hak menjadi calon ADUN seawal usia 18 tahun.

Jelasnya, langkah itu mampu memberi peluang, ruang dan suara kepada mereka untuk bersama-sama berganding bahu mencorak demokrasi negara melalui pilihan raya.

“Ini juga seiring dengan perkembangan pesat ekonomi, teknologi dan kemajuan pelbagai industri yang mana penglibatan golongan muda dalam pembangunan sosial dan politik di Pulau Pinang dan Malaysia amat diperlukan,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu pada sidang DUN di sini hari ini.

Beliau menambah, golongan belia juga perlu diberi peluang untuk memainkan peranan yang kritikal dalam dasar-dasar kerajaan memandangkan mereka merupakan generasi yang bakal menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.

“Mereka juga perlu diberi peluang dan platform yang optimum untuk meningkatkan kesedaran politik serta menitikberatkan pandangan dan suara golongan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya