PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) akan membincangkan persiapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) termasuk pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen minggu depan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perbincangan tersebut akan dibuat tanpa melibatkan UMNO dan hanya melibatkan tiga parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Nasional (Gerakan) di samping komponen lain di Sabah serta Sarawak.
Katanya, keputusan tersebut dibuat selepas tiada petunjuk dan hala tuju jelas UMNO sama ada mahu terus bekerjasama atau sebaliknya.
“Kalau nak tunggu parti lain akan ganggu persiapan yang telah diatur PN dan kita hormati sebarang keputusan mereka. Walaupun realiti kita bersama dalam kerajaan, tiada petunjuk mereka (UMNO) nak bersama dengan kita atau tidak.
“Justeru kita akan berunding dalam masa terdekat dulu. Kita ada persefahaman dengan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Untuk Semenanjung perundingan membabitkan Pas. Gerakan dan Bersatu. Begitu juga Sabah dan Sarawak yang ada komponen di sana,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Teringgi PN, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, PN akan menyokong Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH).
“PN akan berperanan menyampaikan pandangan dan peranan mengenai MoU kestabilan politik,” ujarnya. – UTUSAN